Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian
Surat Paulus kepada Jemaat di Roma adalah salah satu surat Paulus yang paling penting. Kata-kata pembukanya adalah salah satu deklarasi yang paling berani dan paling terkenal dan dikasihi dalam Alkitab tentang Kuasa Injil.
Roma 1: 14-17
Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. 15Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga.
16 Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil adalah kuasa daripada Tuhan untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani. 17 Kerana di dalamnya perbenaran Tuhan dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Orang benar akan hidup dengan iman.”
Pada asasnya, kitab Roma adalah mengenai Injil Yesus Kristus. Ia berpusat pada Pribadi Yesus Kristus – tentang siapa Dia dan pekerjaan penebusan yang telah Dia lakukan, pada dasarnya menangkap intipati rancangan dan tujuan Tuhan untuk menyelamatkan orang berdosa melalui Injil Kristus.
Melalui surat ini, kita diingatkan tentang sifat berdosa kita dan penghukuman kekal. Iaitu, sehingga Tuhan, melalui kasih karunia-Nya, menawarkan kepada kita, baik orang Yahudi dan bukan Yahudi, Injil pembenaran oleh iman dalam Kristus – supaya semua orang dapat diselamatkan. Namun, keselamatan kita bukanlah pengakhiran iman kita kepada Yesus. Keselamatan hanyalah langkah pertama yang diteruskan dengan kehidupan yang berubah.
Oleh itu, Kitab Roma juga membentangkan implikasi praktikal tentang bagaimana orang Kristian harus menjalani kehidupan mereka, yang ditandai dengan kerendahan hati, kasih sayang, dan dalam melayani orang lain. Ia mengajar kita untuk menjalani kehidupan yang diubah melalui iman kepada Yesus Kristus.
Pada hari-hari menjelang Jumaat Agung dan Paskah, gereja Damansara Utama Methodist Center sedang menjalankan kajian terhadap buku yang luar biasa ini. Selama beberapa minggu, siri ini akan merangkumi topik utama seperti “Perjuangan Kemanusiaan”, “Sola Fide”, “Kedamaian dalam Kekacauan Moden” dan “Breaking Out of Prison” melalui lensa Book of Romans (anda digalakkan untuk mengikuti khutbah melalui saluran YouTube mereka jika anda fasih mendengar Bahasa Inggeris). Dalam khutbah pertama, Pr Mike Ngui berkongsi Idea Besar Injil sebagai kuasa Tuhan untuk menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Kristus Yesus.
1. Injil Tuhan berpusat pada Yesus Kristus (Roma 1:1-4; Kisah 4:12, Yohanes 14:6)
Pr Mike berkongsi bahawa Rasul Paulus telah menerangkan dengan sangat jelas bahawa Injil berpusat pada Yesus sejak permulaan suratnya. Ia menggemakan apa yang Petrus katakan tentang siapa Yesus (Kisah 4:12), dan apa yang Yesus sendiri telah nyatakan tentang identiti-Nya (Yohanes 14:6). Dengan membuka dengan pengisytiharan ini, Paulus meletakkan Yesus di tengah-tengah keselamatan.
(a) Rancangan Tuhan dari awal adalah Mesias (Roma 1:1-2; Kisah 2:23)
Sejak awal, Tuhan tidak mempunyai rancangan lain selain Mesias. Yesus adalah satu-satunya rancangan dan Dia-lah rancangan asal selama ini. Jauh sebelum kelahiran-Nya di Betlehem, Tuhan telah merancang ini dan menjangkakan ini melalui para nabi-Nya. Yesus adalah rancangan yang disengajakan Tuhan untuk manusia.
(b) Yesus ialah Mesias, dan Dia sepenuhnya manusia dan Tuhan (Roma 1:3-4; Filipi 2:6-7)
Yesus Mesias adalah satu-satunya Pribadi dalam sejarah yang merupakan Tuhan dan manusia, dan Dia Tuhan dan manusia sepenuhnya. Oleh itu, dalam Yesus, kita melihat seorang lelaki seperti kita tetapi dipenuhi dengan Roh Tuhan. Ini mendorong kita untuk hidup sebagaimana Yesus hidup dan untuk mengikuti teladan-Nya.
2. Injil adalah Kuasa Tuhan untuk menyelamatkan manusia (Roma 1:16a)
Inti dari Roma 1 adalah mesej bahawa Injil Yesus adalah kuasa Tuhan untuk menyelamatkan manusia. Ia mengetepikan semua kuasa lain yang diketahui manusia. Walaupun manusia dan empayar mereka yang hebat (iaitu Rom pada zaman itu) mungkin mempunyai kehebatan ketenteraan, kuasa ekonomi, dan kuasa politik, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyelamatkan diri mereka daripada dosa dan kematian. Kuasa ini hanya boleh didapati dalam Injil Yesus. Injil adalah Kuasa Tuhan untuk bukan sahaja menyelamatkan manusia daripada kutukan kekal dan hidup yang tanpa tujuan, tetapi untuk membawa keselamatan.
(a) Kuasa Tuhan untuk menyelamatkan kita daripada kematian kekal (Yohanes 5:24)
Injil Yesus mempunyai Kuasa Tuhan untuk menyelamatkan kita daripada kematian kekal. Yesus membawa kita dari maut kepada hidup, menyelamatkan kita dari hukuman dosa, iaitu maut (Roma 6:23).
(b) Kuasa Tuhan untuk menjadikan kita baru (2 Korintus 5:17; Titus 3:5b; Yohanes 10:10; Roma 15:13)
Kuasa Tuhan bukan hanya untuk menyelamatkan kita, tetapi juga untuk menjadikan kita baru. Ini adalah untuk memberi kita permulaan baru di mana yang baru telah datang dan yang lama telah pergi. Kehidupan baru yang diberikan adalah kehidupan yang diubah sepenuhnya, tidak lagi diperhambakan oleh dosa. Kuasa Tuhan adalah kuasa yang membebaskan kita daripada dosa. Yesus datang supaya kita mempunyai hidup dan memilikinya sepenuhnya.
3. Injil dialami dengan mempercayai Tuhan (Roma 1:16)
Injil Yesus dialami dengan mempercayai Tuhan. Kepercayaan secara iman adalah lebih besar daripada percaya dari minda semata-mata, kerana kepercayaan secara iman menuntut kita bertindak mengikut apa yang kita percaya adalah benar. Dengan mempercayai Tuhan, kita mengakui bahawa Injil adalah Kuasa Tuhan, dan kita hanya boleh mengalami kuasa ini dengan mematuhi Dia.
(a) Injil adalah Kuasa Tuhan, bukan milik kita! (Efesus 2:8-9)
Fahami bahawa Injil adalah Kuasa Tuhan dan bukan dari kita. Ini bermakna bahawa keselamatan adalah daripada rahmat Tuhan, bukan dengan kuasa kita sendiri. Ini bukan tentang apa yang kita lakukan untuk memperoleh keselamatan kita.
(b) Kita mengalami Kuasa Tuhan dalam Injil dengan mematuhi-Nya (Roma 1:5; 4:20-21)
Kita mengalami Kuasa Tuhan dengan mematuhi Dia kerana melalui Dia kita menerima rahmat untuk ketaatan yang datang dari iman. Ketaatan dan iman adalah dua sisi mata wang yang sama dan tidak boleh dipisahkan. Kesetiaan kepada Tuhan hanya boleh datang dari ketaatan, dan kita tidak boleh benar-benar taat tanpa iman. Ketaatan tanpa iman bukanlah ketaatan yang dikehendaki Tuhan.
Kesimpulan
Kitab Roma dengan tepat menunjukkan bahawa Injil adalah kuasa Tuhan untuk menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus. Oleh itu, Injil mesti berakar pada Yesus Kristus – tentang siapa Yesus dan bagaimana Dia sentiasa berada dalam rancangan Tuhan untuk menyelamatkan kita (orang berdosa) daripada hukuman kekal. Kita diselamatkan bukan sahaja daripada kematian tetapi untuk diperbaharui dan diubah untuk menjalani kehidupan yang penuh bebas daripada dosa. Dan untuk menjalani transformasi sedemikian akan menuntut ketaatan dan kepercayaan penuh kita kepada Tuhan.
Sesungguhnya, Injil adalah kuasa Tuhan untuk menyelamatkan setiap orang yang percaya kepada Kristus Yesus, dan ini hanya boleh diterima oleh kasih karunia Tuhan melalui karunia iman (dan bukan dengan perbuatan kita sendiri) dan dibuktikan dengan kehidupan yang diubah.
Ini adalah sebuah artikel Kristian yang ditulis melalui lensa iman penganut Kristian dan ditujukan untuk pembaca Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia. Penterjemahan ini berdasarkan daripada sebuah kebaktian yang disediakan oleh gereja DUMC. Ia adalah inisiatif bebas dan tidak bergabung secara langsung dengan DUMC.
|Kongsilah Berita Baik|
Leave a Reply