Pada 24 hingga 26 September 2015, satu Perhimpunan Doa Orang Asli (PDOA) yang menggemparkan bumi dan syurga telah diadakan di Grace Convention Centre (GCC), Petaling Jaya.
Penari-penari penyembahan Yeshua Hamashiach melakukan tarian profetik Roh Kudus Tuhan, berserta dengan penyanyi-penyanyi profetik yang turut melaungkan isi hati untuk Yeshua Hamashiach agar turun mengenapi perhimpunan anak-anak kesayangan-Nya.
Apa yang luar biasa dengan perhimpunan ini ialah mereka tidak mempunyai pengkhutbah-pengkhutbah tertentu. Tetapi mereka mempunyai sekumpulan pemimpin rohaniah yang datang bersama untuk mencari hati Bapa Tuhan dan mengikuti pimpinan Roh Kudus dengan spontan.
Dan pada tahun ini, hati penganjur iaitu Family Journey Malaysia (FMJ) didorong untuk mengadakan perhimpunan khas bagi anak-anak sulung Bapa Tuhan – iaitu orang-orang asli Semenanjung Malaysia, orang-orang asal Sarawak, dan anak-anak negeri Sabah – supaya pulang ke pangkuan-Nya.
“Sebagai orang asli dan penjaga pintu gerbang, kita mahu melihat kedaulatan Tuhan Bapa dinyatakan di bumi seperti di syurga. Sebagai orang asli, kita kata ‘tidak’ untuk kuasa kegelapan.
“Kita mahu menyatukan hati dan tubuh kita, untuk melihat wibawa Tuhan di Malaysia. Ini adalah masanya untuk keluarga anak sulung Tuhan Bapa untuk kukuh bersama-sama!” kata seorang pendeta.
Kerana itu, apa yang telah dipersatukan Tuhan, tidak boleh diceraikan manusia. (Markus 10:9)
Bunyi gendang, shofar, dan tangisan keluarga Yeshua Hamaschiah naik ke angkasa. Dengan satu suara dan satu hati (iaitu tema perhimpunan orang asli ini), semua wakil suku-suku melaungkan doa ke syurga untuk setiap orang dalam suku kembali ke pangkuan Tuhan Bapa.
Roh Kudus Tuhan yang sungguh pekat menyeliputi perhimpunan itu, bagaikan kabus pagi yang menghingapi setiap daun dan dahan. Tiada satu orang pun yang ketinggalan dalam merasai kehadiran-Nya.
“Adakah kamu percaya bahawa Tuhan Bapa sedang mengutuskan malaikat-malaikat-Nya untuk mengunjungi keluarga kita? ‘Engkau Tuhan yang maha kuasa! Engkaulah yang memilih puak-puak dan suku-suku di tanah ini sebelum dunia ini dijadikan.’
“’Pada hari ini, kami berdiri di depan-Mu, Tuhan. Kami datang ke hadapan takhta-Mu, ke hadapan ribuan malaikat-Mu, dan ke hadapan Anak Engkau, kami bersetuju dengan doa-Nya yang mengatakan bahawa Tuhan Bapa dan kami semua akan menjadi satu!” tambahnya lagi.
Pemuda-pemudi bahkan orang-orang tua dari semua suku-suku dan puak-puak datang ke hadapan untuk melutut di depan takhta Bapa Tuhan. Pada masa ini, tidak kira mereka dari – puak Chewong, Jah Hut, Jahai, Kensiu, Kintaq, Lanoh, Mah Meri, Mendriq, Orang Kanaq, Orang Seletar, Semai, Semelai, Semaq Beri, Temiar, Temuan, Bateq, Jakun, atau Cheq Wong – mereka datang sebagai satu keluarga.
“Sebelum kita membuat perjanjian dari suku ke suku, kami meminta Tuhan untuk mengampuni dosa kami. Dosa kerana ketidaktaaatan kami. Dosa kerana sembah hala. Dosa kerana tidak mendengar suara Tuhan. Dosa kerana tidak mahu membangunkan diri. Dosa kerana mengeraskan hati.
“Ampuni kami kerana dosa kami, Tuhan! Ampuni kami kerana kesilapan kami! Kami mahu kembali kepada Engkau! Kami mahu mengenal Engkau! Kuduskan kami, Tuhan. Sucikan kami. Pulihkan kami! Kami mahu dibebaskan dari ketakutan. Bertakhtalah Tuhan… Bertakhtalah Tuhan… Bertakthtalah…,” kata seorang pendeta yang lain.
Mereka juga berdoa untuk keberkatan orang-orang asli Semenanjung, orang-orang asal Sarawak, dan anak-anak negeri Sabah.
“Bapa Tuhan, pada malam ini, jadikanlah anak-anak sulung-Mu menjadi satu tembok kekudusan untuk berdiri teguh dalam iman untuk suku-suku mereka. Pada malam ini, biarlah perjanjian kesatuan ini dimeteraikan dalam darah Yesus!
“Jadikanlah mereka terang. Jadikanlah mereka kepala dan bukan ekor. Hari ini, kami meminta Engkau untuk melepaskan kemahiran dan pengetahuan untuk anak-anak-Mu supaya hidup dengan taat dan berjaya!” tambah seorang pendeta yang lain lagi.
Maka, tidak kira puak, suku, atau bangsa, kita semua adalah satu keluarga yang besar dalam nama Yeshua Hamashiach.
Janganlah kita dari bangsa-bangsa lain melupakan budi baik adik-beradik sulung kita yang tidak mengusir dan mengancam nenek moyang kita yang datang untuk mencari rezeki di tanah berkat ini. Malah, sebagai penjaga pintu gerbang di tanah ini, mereka telah mengizinkan semua untuk menetap dan memajukan diri.
Namun, adik-beradik sulung kita pada hari ini hidup dalam kemiskinan dan kepinggiran. Sanggupkah kita membiarkan ahli keluarga kita menderita bersendirian? Tidak. Kalau satu bahagian tubuh menderita, seluruh tubuh menderita. Bukankah kita semua tinggal dalam tubuh yang sama?
Maka, adik-beradik semua – di bandar-bandar, kampung-kampung, hilir-hilir, gunung-ganang, gua-gua – tidak kira di mana kamu berada, ingatlah kita semua adalah satu keluarga. Dalam Yeshua Hamasciah, tiada satu yang akan ketinggalan.
| Share the Good News |
Leave a Reply