Yesus Kristus: Anak Domba Tuhan dan Penyelamat Dunia

Yesus Kristus adalah Anak Domba Tuhan dan Singa, Juruselamat dan Harapan Dunia (rujukan: wallpaperflare).

 

Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian

 

Tidak lama lagi, kami akan merayakan Krismas. Lebih daripada sekadar tarikh lain pada kalendar, ia memperingati salah satu peristiwa yang paling penting dalam sejarah kita selain penyaliban dan kebangkitan semasa Minggu Suci.

Krismas mengingatkan kita tentang kedatangan Yesus Kristus. Di dalam Kristus, kita dapati kedua-dua Anak Domba Tuhan dan Juruselamat Dunia. Tidak ada masa yang lebih baik daripada Musim Kedatangan untuk merenungkan peranan Kristus dalam kehidupan kita, pertama dengan mengenali Dia sebagai Anak Domba Tuhan, dan kemudian mungkin lebih penting lagi, sebagai Juruselamat dan Harapan Dunia.

 

Ruj: peakpx

 

Anak Domba Tuhan

Sebagai rujukan kepada Yesus, Anak Domba Tuhan membawa makna korban bagi dosa manusia yang disempurnakan melalui kematian Yesus. Frasa ini menghubungkan Yesus dengan gambaran Hamba yang Menderita dalam kitab Yesaya, menunjukkan bahawa Mesias akan menyelamatkan umat-Nya bukan melalui kepemimpinan politik, tetapi melalui sesuatu yang mirip dengan penggunaan anak domba untuk korban dalam Perjanjian Lama.

Kita menemui frasa “Anak Domba Tuhan” khususnya dalam Yohanes 1:29, dari mulut Yohanes Pembaptis. Di dalamnya, Yohanes Pembaptis merujuk kepada Kristus sebagai Dia yang akan menghapuskan dosa dunia. Yohanes mengenal pasti Yesus sebagai Anak Domba Tuhan semasa Pembaptisan-Nya dan sekali lagi pada keesokan harinya  (Yohanes 1:36). Apakah yang dimaksudkan oleh Yohanes Pembaptis?

 

Sebuah lukisan oleh pelukis Itali, Domenichino, yang menggambarkan detik penting tersebut.

 

Dalam Perjanjian Lama, anak domba dikorbankan setiap hari di kuil (Imamat 3: 6-7). Haiwan itu tanpa kecacatan. Upacara itu menggambarkan salah satu misteri mendalam dalam Alkitab. Penghapusan kesalahan moral dan rasa bersalah memerlukan darah. Seseorang atau sesuatu mesti mati di tempat orang itu, iaitu si pendosa yang sebenarnya – dalam sistem Perjanjian Lama, seekor anak domba atau haiwan lain yang menjadi korban.

Satu lagi kaitan yang lebih mungkin dengan pengisytiharan Yohanes adalah peristiwa penting yang dikenali sebagai Paskah, yang disambut untuk mengenang peristiwa keluarnya umat Israel dari Mesir. Tuhan telah mengarahkan semua orang Ibrani untuk “mengambil seekor anak domba” (Keluaran 12: 3), membunuhnya, dan kemudian menaburkan darahnya di kerangka pintu setiap rumah untuk menyelamatkan keluarga yang tinggal di sana dari wabak terakhir yang bakal melanda Mesir pada ketika itu. Maka, bagi Yohanes untuk mengenal pasti Yesus sebagai Anak Domba Tuhan sememangnya satu tuntutan yang berani yang pasti mengoncangkan, bahkan mendefinasikan semula, agama Israel. Rabbi ini, yang dinamakan Yesus, sepupu Yohanes, adalah bersamaan dengan Anak Domba Paskah, Juruselamat bagi orang Israel.

 

Yesus akan memikul dan menghapuskan dosa-dosa dunia di Kalvari.

 

Dalam Yesaya 9:6-7, nabi Yesaya meramalkan kedatangan pertama Kristus tetapi menggambarkannya secara samar sebagai kelahiran seorang anak yang ditakdirkan untuk perkara besar. Beliau seterusnya menggambarkan watak ini dengan lebih lanjut dalam Yesaya 53 sebagai Seorang yang dikenali sebagai Hamba yang Menderita. Terdapat sedikit benang-benang nubuat, namun siapa lagi yang sesuai dengan keterangan ini? Yesus akan datang dan hanya Dia yang memikul dosa dunia berabad-abad kemudian. “Hamba” Yesaya sangat bertepatan dengan Yesus, kerana Kristus benar-benar datang, menderita, dan menghapuskan dosa dunia. Anak dari Yang Maha Tinggi datang sebagai hamba supaya umat manusia dapat memperoleh kehidupan abadi, dan pada hari ketiga selepas penyalibannya, Dia akan bangkit sebagai Raja Abadi.

Sebelum ini, pada zaman Abraham, telah ada gambaran tentang peristiwa ini apabila seekor anak domba ditemui untuk menggantikan Ishak di atas mezbah: “Tuhan sendiri akan menyediakan anak domba itu” (Kejadian 22:8), jelas Abraham kepada anaknya yang masih muda dalam satu tindakan iman dan ketaatan yang luar biasa.

 

Disebabkan iman Abraham, Tuhan menjalin suatu perjanjian dengan dan melalui dia.

 

Selain dari Kedatangan Pertama, Kitab Suci juga menunjuk kepada kepentingan masa depan Kristus sebagai Anak Domba Tuhan. Wahyu 5:6 menggambarkan Kristus yang menang melalui imej seorang domba. Mengenai Dia, seluruh suara syurga menyanyi dengan lantang: “Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.” (Wahyu 5:12).

Oleh kerana Paskah adalah perayaan Yahudi yang paling utama, kita boleh membuat kesimpulan bahawa ia ada dalam fikiran Yohanes Pembaptis ketika dia berkata tentang Yesus. Namun, gambaran penuh dalam Alkitab mengenai domba yang disembelih memberikan potret Yesus sebagai orang yang taat, tunduk kepada kehendak Tuhan Bapa, dan pengganti bagi dosa semua orang, pengorbanan yang terakhir. Selepas Yesus, tidak ada lagi darah yang diperlukan untuk menghapuskan dosa. Semua yang percaya dilindungi dengan darah-Nya. Dengan menjadi Anak Domba Tuhan, Kristus juga menjadi Juruselamat dan Harapan Dunia.

 

Penyelamat dan Harapan Dunia

Dirangkumkan dalam gelaran Juruselamat dan Harapan Dunia adalah peranan Yesus sebagai Dia yang membawa manusia keluar dari kehancuran akibat dosa dan menuju kedamaian pendamaian dengan Tuhan melalui salib. Di seluruh Alkitab, terdapat satu perkara yang sama; kisah Tuhan menyelamatkan orang berdosa melalui Yesus. Alangkah tepatnya gelaran Yesus sebagai Juruselamat (Lukas 2:11; 2 Timotius 1:10), kerana penyelamat ialah seseorang yang membebaskan seseorang atau sekumpulan daripada malapetaka tertentu. Dengan mempertimbangkan konsep perkataan itu, penggunaan Perjanjian Lamanya, dan perbandingannya dengan penggunaan Rom, kita dapat memahami maksud Alkitab dalam memanggil Yesus sebagai “Penyelamat”.

 

Ruj: pinimg

 

Yesus Kristus adalah Juruselamat kerana Dia datang untuk menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka (Matius 1:21). Dosa manusia telah membawa kutukan ke atas bumi (Roma 8:20) dan mendatangkan hukuman daripada Tuhan ke atas mereka yang berdosa. Hukuman itu adalah kutukan kematian (Roma 6:23). Manusia tidak mempunyai cara untuk menyelamatkan diri mereka sendiri, kerana pengorbanan binatang tidak pernah dapat membawa pengampunan dosa yang kekal (Ibrani 10:3-4). Oleh itu Yesus telah datang sebagai Anak Domba Tuhan, menjalani kehidupan yang sempurna dan mempersembahkan nyawa-Nya sebagai korban penghapus dosa bagi umat Tuhan, baik untuk orang Yahudi mahupun bukan Yahudi (Roma 3:21-26).

Dalam konteks teologi, Yesus adalah Juruselamat dunia kerana Dia telah membolehkan orang berdosa datang kepada pengetahuan yang menyelamatkan tentang Tuhan. Dia telah mendamaikan orang berdosa dengan Tuhan dan juga telah mendamaikan alam semesta dengan Tuhan (Kolose 1:20). Semua orang yang menaruh kepercayaan mereka kepada Kristus menerima pendamaian ini, dan mesej Injil adalah desakan penerimaan pendamaian ini (2 Korintus 5:20).

 

Yesus adalah Juruselamat dunia kerana Dia telah memungkinkan orang berdosa untuk mengenal Tuhan yang menyelamatkan. Semua orang yang menaruh kepercayaan mereka kepada Kristus menerima pendamaian ini, dan pekabaran Injil adalah desakan untuk menerima pendamaian ini.

 

Jauh lebih awal, idea tentang Juruselamat telah pun menimbulkan gambaran Perjanjian Lama. Perkataan “Juruselamat” sering muncul dalam Perjanjian Lama apabila merujuk kepada Tuhan (Ulangan 32:15; 1 Tawarikh 16:35). Tuhan akan menyelamatkan umat-Nya dari malapetaka, baik pada tahap bangsa (Nehemia 9:27; Mazmur 68:19; 79:9) atau pada peringkat individu (Mazmur 18:46). Malah, para nabi menyatakan bahawa bangsa Ibrani telah lama menunggu Tuhan bertindak sebagai Juruselamat mereka pada masa hadapan mereka (Yesaya 62:11; Mikha 7:7) dan menyatakan bahawa Dia adalah satu-satunya Juruselamat (Yesaya 43:11; Hosea 13:4). Nubuatan tentang Juruselamat yang akan datang ini mula berlaku semasa Krismas pertama lebih daripada 2000 tahun lalu.

Secara ketara, selaras dengan pemahaman Perjanjian Lama, dalam mengisytiharkan Yesus Kristus sebagai Juruselamat, Perjanjian Baru membayangkan keilahian Kristus; melalui-Nya Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Maria berseru kepada Tuhan dalam pengertian ini dalam Lukas 1:47, tetapi kemudian Yesus diisytiharkan sebagai Juruselamat dalam Lukas 2:11. Malah, Titus 2:13 menggunakan kedua-dua gelaran Tuhan dan Juruselamat sebagai rujukan untuk Yesus Kristus. Oleh itu, Krismas adalah perayaan kedatangan Juruselamat yang akan bergema sepanjang masa.

 

Kita meraikan Yesus semasa Krismas, bukan hanya kerana Dia dilahirkan, tetapi kerana Dia datang untuk tinggal di antara kita.

 

Kedatangan pertama Yesus berlaku pada zaman empayar Rom di mana terdapat kultus personaliti yang berpusat di sekitar maharaja Rom sebagai “penyelamat dunia”. Augustus, maharaja Rom ketika itu, dianggap sebagai penyelamat kerana membawa keamanan kepada empayar Rom. Tetapi manakala Augustus membawa perdamaian di Roma melalui penaklukan dan pemerintahan yang menindas, Yesus Kristus membawa perdamaian dengan Tuhan (Roma 5:1) melalui pelayanan kepada orang lain, memberikan nyawa-Nya sebagai tebusan (Markus 10:45), dan pengampunan dosa (Kisah 5:31). Pemahaman ini sangat kuat dalam Filipi 3:20, sebuah surat yang ditulis kepada sebuah tanah jajahan Rom.

 

Yesus Kristus sebagai Anak Domba Tuhan dan Penyelamat Dunia

Apabila kita mengisytiharkan dan mengaku Yesus sebagai Juruselamat kita, kita meningati bahawa dosa-dosa kita telah diampuni tetapi juga bahawa kita harus mematuhi Dia sebagai Tuhan kita dan Raja kita sementara kita menunggu Dia datang semula (Titus 2:11-14), bertumbuh dalam pengetahuan kita tentang Dia (2 Petrus 3:18). Kita juga tidak boleh melupakan hasrat Tuhan untuk menjadi Juruselamat semua orang, bukan hanya segelintir (1 Timotius 2:3-4), dan ini sepatutnya mendorong kita untuk berdoa agar orang lain dapat mengenali Yesus sebagai Penyelamat mereka dan untuk berkongsi mesej dengan semua orang yang kita jumpa.

Seperti Maria, roh kita harus sangat bergembira kerana Tuhan Penyelamat kita telah datang dan membebaskan kita dari keadaanyang hina (Lukas 1:46-49). Biarkan Krismas ini menjadi masa di mana kita bersaksi untuk Kristus.

 

Ini adalah sebuah artikel Kristian yang ditulis melalui lensa iman penganut Kristian dan ditujukan untuk pembaca Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia. 

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*