Perlumbaan untuk seorang Orang Percaya Yesus – Pr Les Galida di SIB Lake City

Pr Les Galida berkhutbah di SIB Lake City
Pr Les Galida berkhutbah di SIB Lake City

 

Pada 16 haribulan Ogos, Pr Les Galida berkhutbah di SIB Lake City dengan tajuk ibadahnya, “Perlumbaan untuk seorang Orang Percaya Yesus.”

 

Sedangkan bagi kita, di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun.

Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir. Yesus tidak putus asa, walaupun Dia harus mati pada kayu salib. Sebaliknya, kerana kegembiraan yang menantikan-Nya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada kayu salib adalah suatu hal yang memalukan. Sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Tuhan.

Fikirkanlah betapa beratnya penderitaan yang dialami oleh Yesus, kerana orang berdosa sangat membenci Dia! Oleh itu janganlah berkecil hati dan putus asa.

(Ibrani 12:1-3 Alkitab Berita Baik)

 

Ref: psychscene
Ref: psychscene

 

“Saya ingin membawa kita untuk membuka firman Tuhan dalam kitab Ibrani untuk berkongsi ayat ini dalam Ibrani, fasa kedua belas. Saya sangat yakin Tuhan menaruhkan ayat ini ke dalam hati saya untuk berkongsi pada pagi ini, iaitu ayat pertama hingga ayat ketiga,” Pr Les berkata.

Firman Tuhan di atas memberi dorongan kepada kita bahawa kita mempunyai banyak saksi-saksi di sekeliling kita, bagaikan awan-awan di langit. Siapakah saksi-saksi ini? Saksi-saksi ini ialah orang-orang iman seperti kita yang disenaraikan dalam bab sebelas Ibrani termasuklah Abraham, Ishak, Yakub, Yusuf, Musa, Rahab, Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel dan lain-lain lagi.

“Inilah saksi-saksi yang ditulis oleh penulis kitab Ibrani untuk mengingatkan kita bahawa kita bukan keseorangan dalam perlumbaan iman kita dan pertahanan iman kita sehingga  ke garis akhir,” Pr Les berkata.

 

Penari-penari penyembahan Tuhan di SIB Lake City
Penari-penari penyembahan Tuhan di SIB Lake City

 

Seterusnya, penulis kitab Ibrani ini mendorong kita dan berkata, “Marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita.” Jadi, kalau kita mahu berlari dalam perjalanan kerohanian kita, kita mestilah membuang segalanya yang membuat kita berlari dengan perlahan, membuat kita penat lelah, dan membuat kita berhenti berlari.

Ketika firman ini dituliskan, umat-umat Kristian sedang mengalami pelbagai penderitaan dan penganiayaan dari orang-orang yang tidak percaya kepada Tuhan Yesus. Pertahanan persekutuan antara umat-umat Kristian adalah susah di kalangan orang-orang yang tidak mengamalkan amalan baik berdasarkan firman Tuhan.

“Samalah seperti kita pada masa ini. Sebagai orang Kristian, perjalanan kerohanian kita bagaikan kerja yang keras. Kita selalu hendak menerima perlimpahan berkat sebaik sahaja menjadi orang Kristian.

“Tetapi jangan lupa. Di sisi perjalanan iman kita sebagai orang percaya kepada Yesus, ada pekerjaan yang keras. Jadi, segala halangan-halangan peribadi yang membuatkan kamu susah untuk maju dalam Tuhan dan tidak semangat untuk hal-hal rohani, buangkanlah semua,” Pr Les berkata.

 

Pr Les memuliakan Yesus dengan penyanyi-penyanyi penyembahan Tuhan
Pr Les memuliakan Yesus dengan penyanyi-penyanyi penyembahan Tuhan

 

Halangan-halangan yang membuat kita berasa terikat dan tersesak termasuklah masalah kewangan, masalah pekerjaan, masalah pergaulan, masalah keluarga, dan penderitaan secara emosi, secara jiwa, dan secara pemikiran.

Bayangkan kalau kita mahu mendaki gunung Kinabalu. Seboleh-bolehnya, kita mahu membawa beban yang paling ringan supaya kita tidak cemas, tidak penat, dan tidak hilang fokus.

“Samalah dengan perjalanan kita dengan Yesus, bawa yang patut sahaja dan tanggalkan semua yang kurang terutama, mungkin penting tetapi bukan terutama. Buangkanlah semua itu,” Pr Les berkata.

Seterusnya, penulis Ibrani ini mendorong kita untuk membuang dosa-dosa yang berpaut kepada kita, seakan-akan belitan ular. Jika kita tidak bebas daripada belitan ular ini, lama-kelamaan kita akan mati. Maka, pekerjaan dosa itu adalah seperti belitan ular.

“Dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar – dalam alkitab kita – dosa itu tetap sama. Dosa adalah dosa, tetap ada akibatnya. Jadi, mungkin kita berfikir, ‘Wah! Dosa kita yang besar sudah diampuni Yesus.’ Tetapi dosa kecil atau dosa besar, kadarnya tetap sama.

“Mungkin kita tidak sedar apakah dosa-dosa ini. Dosa-dosa tersebut mungkin ialah perbuatan-perbuatan yang kita membuat kompromi. Misalnya, dosa membunuh, sudah pastilah kita tahu itu memang dosa.

“Tetapi kalau dosa memfitnah atau menggosip orang, kita berfikir bahawa perbuatan-perbuatan ini mungkin diperbolehkan. Dosa-dosa ini kita anggap kecil dan kita pandang remeh. Tetapi itu sebenarnya menjadi satu umpan untuk iblis. Dan lama-kelamaan, ia akan mematikan rohani kita, “ Pr Les berkata.

 

Penganut-penganut Kristian di SIB Lake City
Penganut-penganut Kristian di SIB Lake City

 

Kalau kita terus memilih untuk berdosa, dosa-dosa ini akan membuat kita tidak tekun dalam perlumbaan kita dan malas untuk mengakhiri perlumbaan ini.

Mengapakah Tuhan membayangkan perjalanan kita sebagai orang Kristian seperti satu perlumbaan? Ini adalah kerana seperti orang Kristian, setiap pelumba sudah mempunyai satu ruang perlumbaan yang ditetapkan di antara garisan-garisan. Setiap pelumba hanya perlu menumpukan perhatiannya untuk berlari dalam perlumbaannya dan tiba di garisan penamat. Dia tidak perlu berlari di ruangan pelumba-pelumba lain yang berbeza daripadanya.

“Tuhan sudah menetapkan perlumbaan kita secara peribadi dan kita haruslah menyediakan hati kita untuk berlari dan berlari. Ada waktu kita berlari laju, sewaktu kita bersemangat dan mempunyai tenaga yang kuat.

“Tetapi pada waktu kita berada dalam keadaan yang lelah, seakan-akan kita tersesat jalan, kita mahu berjalan. Dan ketika kita sudah tidak ada kemampuan untuk berjalan lagi, apakah yang harus kita lakukan? Kita mahu merangkak ataupun berehat seketika tetapi kita haruslah terus maju dan terus maju,” Pr Les berkata.

 

Ref: landcareonline
Ref: landcareonline

 

Objektif kita dalam perlumbaan bukanlah untuk lebih cepat atau lebih lambat daripada umat-umat Kristian lain, tetapi kita mahu berlari sampai ke garisan akhir. Perlumbaan ini bukan pertandingan sesama sendiri, tetapi Tuhan sudah mengetahui setiap bakat dan kemampuan kita yang istimewa dan berbeza. Maka, Tuhan sudah menetapkan perlumbaan secara peribadi untuk kita secara masing-masing.

Di dalam firman ini, dalam alkitab Bahasa Inggeris, Yesus juga dikatakan penulis dan penyempurna iman kita. Tuhanlah yang merancangkan perlumbaan kerohanian kita supaya kita boleh lebih mengenaliNya dan juga menjadi garam dan terang untukNya dalam dunia kegelapan ini.

Apa yang paling menyenangkan hati kita ialah Tuhan sudah berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan kita kesendirian dalam perlumbaan ini. Tetapi, di dalam roh kudusnya, Dia akan memimpin kita sehingga kita memenangi perlumbaan ini seperti saksi-saksi iman pada zaman lalu.

“Memang jadi orang Kristian itu tidak mudah. Ada diskriminasi. Ada orang yang berasa kita pelik. Tetapi kita tetap mesti menjaga iman kita dalam Tuhan. Ia memang tidak mudah kerana ada banyak hal-hal yang menggoda kita.

“Berapa orang yang meninggalkan iman kerana kasih, kerana cinta, kerana wang, dan kerana kekuasaan. Berapa banyak orang telah menjauhkan diri dari Tuhan kerana dia tidak tekun untuk menghadapi penderitaan yang benar-benar menguji imannya dengan Tuhan,” Pr Les berkata.

 

Seorang penganut Kristian yang sedang berkongsi tentang timpahan dosa-dosa kita pada Yesus di kayu salib
Seorang penganut Kristian yang sedang berkongsi tentang timpahan dosa-dosa kita pada Yesus di kayu salib

 

Kita haruslah berhati-hati dengan dosa-dosa yang berpaut kepada kita, terutamanya dosa-dosa yang memerangkap kita apabila kita tidak sedar. Mungkin kita berasa susah untuk membebaskan diri daripada pautan dosa.

Tetapi kita mestilah ingat roh kudus Tuhan sentiasa ada untuk membantu kita untuk membebaskan diri daripada dosa. Jika kita bertaubat dengan Tuhan, pasti Tuhan akan mengampuni segala dosa kita kerana Tuhan Yesus sudah menebus segala dosa-dosa kita di kayu salib termasuk dosa yang lalu, dosa sekarang, dan dosa yang akan datang.

“Tuhan tahu kecenderungan kita sebagai manusia untuk jatuh dalam dosa. Tetapi ingat, penebusan Yesus adalah sekali dan sempurna. Oleh itu, kita tidak perlulah menambah perbuatan-perbuaatan oleh diri kita dalam kerja penebusan Yesus ini.

“Apa yang kita perlu lakukan adalah kita haruslah percaya dalam hati dan mengaku Yesus adalah Tuhan yang mati untuk kita di kayu salib dan kita diselamatkan,” Pr Les berkata.

Penulis Ibrani juga mendorong kita untuk menumpukan perhatian kita kepada Yesus. Seperti pelari profesional, kita hanya perlu memandang terhadap gol kita iaitu muka Yesus dan bukan memandang pelari-pelari lain di belakang, di kiri, atau di kanan. Kita juga mestilah buka mata kita semasa kita berlari supaya penglihatan kita terhadap Yesus adalah jelas.

 

Ref: northwest
Ref: northwest

 

Firman juga mengatakan bahawa Yesus adalah permula dan pengakhir iman kita. Yesuslah yang telah merancangkan iman kita dan Dia akan menyertai kita dalam menyelesaikan dan menyempurnakan perlumbaan ini.

Dan sebagai pelumba profesional, kita haruslah berlari dengan hati yang sesungguh-sungguhnya dan tekun terhadap gol kita. Walaupun kita terjatuh akibat tersepak batu halangan, kita mestilah bangun dan terus berlari sehingga garis penamat.

Dalam perlumbaan kerohanian, Yesus merupakan satu teladan yang terbaik untuk kita mengikuti. Walaupun Yesus mengalami pelbagai halangan dan penderitaan dari iblis, pihak berkuasa di Roma, dan tolakan daripada murid-muridnya sendiri, Dia tetap berlari dalam perlumbaanNya untuk mati di kayu salib dan menebus dosa kita. Dalam perjalanan ke kayu salib, Dia dicaci, dipukul, dan ditelajangi oleh tentera Roma. PenderitaanNya sungguh besar sehingga seorang orang Yahudi dipaksa untuk memikul beban salibNya supaya Yesus tidak mati dalam perjalananNya ke Bukit Golgotha.

 

Ref: yrdsb
Ref: yrdsb

 

Namun, walaupun Yesus berasa takut dan tidak yakin akan kemampuanNya untuk sampai ke garisan akhir di kayu salib di taman Gethsamane, Dia bangun selepas berdoa dalam taman tersebut dan berkata dengan Bapa Tuhan bahawa hatiNya sudah siap.

“Ketika kita menjadi orang Kristian, kita mestilah berkata dengan hati kita, ‘Hatiku siap untuk menjadi pengikut Kristian. Apapun yang terjadi di sepanjang hidup saya, hatiku siap.’

“Kesiapan hati seperti itu akan memampukan kita menghadapi apapun rintangan dalam hidup kita secara peribadi. Ini adalah kerana kuasa Tuhan itu menyertai kita. Ingat kita tidak kesendirian dalam perlumbaan kita,” Pr Les berkata.

Akhirnya, firman Tuhan berkata orang dosa sangat membenci Yesus, walaupun Yesus amat mencintai orang dosa. Maka, kalau ada orang yang membenci kamu atau tidak menyukai kamu disebabkan iman kamu, kamu tidak kesendirian atau kesepian kerana Tuhan Yesus memahami penderitaan kamu.

Lebih-lebihnya, kalau Yesus sudah memenangi perlumbaanNya dengan berjaya, Dia pasti boleh membantu kita menyelesaikan perlumbaan kita.

 

Ref: abcnews
Ref: abcnews

 

“Kalau Yesus yang merupakan seratus-peratus manusia boleh menang dalam perlumbaanNya yang ditetapkan oleh Tuhan, saya percaya kita dalam generasi ini dan di tempat ini yang memiliki roh kudus Tuhan juga boleh menang dalam perlumbaan kita yang ditetapkan Tuhan.

“Tuhan tidak pernah mengecewakan kita. Mungkin semasa kita berlari dalam ribut, kita bertanya, ‘Adakah Tuhan masih dengan saya?’ Tuhan masih dengan kamu kerana Dia sudah berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan kamu kesendirian. Ingat jangan kecil hati dan jangan hilang harapan. Janganlah kita putus asa sekali kerana kita ada Tuhan bersama kita,” Pr Les berkata.

Marilah kita pulang kepada Tuhan! Yesus adalah satu-satunya juru penyelamat kita yang boleh membawa kejayaan dalam perlumbaan kerohanian kita. Tuhan memberkatimu. 

 

| Share the Good News |

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*