Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian.
DUMC Meraikan 45 Tahun Kesetiaan Tuhan dan Langkah Menuju Masa Depan
Pada hari Pentakosta lalu, satu hari yang penuh simbolik yang menandakan kelahiran Gereja global, beribu-ribu orang berkumpul di Mega Star Arena untuk meraikan ulang tahun ke-45 Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) – salah satu komuniti Kristian yang paling bersemangat dan berbilang etnik di Malaysia.

Namun, ini bukanlah ulang tahun yang biasa. Bagi DUMC, pujian penyembahan, kesaksian, dan mesej pada pagi itu bukan sekadar melihat kembali kesetiaan Tuhan selama empat setengah dekad yang lalu – ia menunjuk dengan penuh keimanan ke arah masa depan. Dengan tema “45 Tahun Kesetiaan Tuhan”, perayaan itu menghimpunkan ribuan orang dari pelbagai peringkat umur, bahasa, dan pelayanan untuk satu tujuan: untuk mengingati kebaikan Tuhan dan melangkah dengan berani ke dalam masa depan yang telah Dia sediakan. Ia menandakan satu titik perubahan rohani: satu panggilan untuk melangkah ke hadapan dengan hati yang disucikan dan mata yang tertumpu kepada apa yang akan Tuhan lakukan seterusnya.
Satu Perjalanan Merentas Generasi dan Bangsa
Dari permulaannya di sebuah rumah dua tingkat yang sederhana di Petaling Jaya pada tahun 1980, apabila tiga lelaki (Dr. Wong Cheng Mung, Pr. Daniel Ho, Dr. Ling Khoon Chin) dari Gereja Methodist Sungei Way-Subang (SSMC) melangkah dengan iman yang berani untuk memulakan gereja baharu, DUMC telah berkembang menjangkaui generasi, bahasa, budaya, malah merentasi sempadan negara. Hari ini, DUMC dikenali bukan sahaja kerana ibadat kontemporari dan penyampaian firman yang dinamik tetapi juga melalui penglibatannya dalam usaha komuniti, pelayanan kepada pelarian, bantuan bencana, dan misi global.

Sambutan ulang tahun ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia – golongan profesional muda, keluarga, warga emas, pelarian, kanak-kanak – semuanya bersatu dalam pujian dan pengharapan. Terjemahan serentak dalam bahasa Mandarin serta siaran langsung dalam bahasa Tamil, Nepali, dan Burma melalui alat audio memastikan bahawa perbezaan bahasa tidak menjadi halangan. Dalam setiap aspek, ia merupakan satu perhimpunan yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan bangsa di bawah satu bumbung.

Anak-anak muda memimpin pujian bersama para pemuzik berpengalaman. Sebuah montaj video memaparkan renungan daripada perintis gereja tentang rahmat dan kasih kurnia Tuhan yang setia memelihara sepanjang masa. Dalam satu temu bual forum yang dikendalikan oleh Pr Ann Wan Kuan bersama Dato’ Dr Daniel Ho dan Pastor Kanan Chris Kam, para perintis berkongsi dari hati mereka tentang makna gereja bagi mereka, harapan mereka untuk jemaah sebagai umat Tuhan, dan kegembiraan dalam meraikan kesetiaan Tuhan yang kekal. Namun di sebalik segala kegembiraan itu, satu perkara tetap nyata: ini bukan tentang nostalgia. Ini adalah mengenai penyerahan baton – sebuah Gereja yang bersedia melangkah ke masa depan.

Firman yang Tepat pada Waktunya: Keberanian di Wilayah yang Belum Diterokai
Menyampaikan khutbah dari Yosua 3:3–5, Pastor Utama DUMC, Ann Wan Kuan, membawakan mesej yang menggetarkan hati bertajuk “Keberanian”. Dalam kisah yang dicatatkan dalam Alkitab, bangsa Israel berdiri di tebing Sungai Yordan, bersiap sedia untuk memasuki wilayah yang tidak pernah mereka lihat, mempercayai Tuhan yang telah mereka ikuti sekian lama. Mereka belum pernah ke tempat itu sebelum ini, namun hadirat Tuhan mendahului mereka.
Ia adalah firman yang relevan untuk kita semua hari ini. Dalam zaman yang penuh dengan pergolakan global, polarisasi politik, dan keletihan rohani, mesej Pastor Ann menyuarakan kebenaran yang setua Kitab Suci: Keberanian bukan sekadar tentang sebuah perasaan – ia adalah mengenai perjalanan ke hadapan dalam iman, walaupun masa depan belum diketahui.

C.S. Lewis pernah berkata, “Keberanian bukan sekadar salah satu daripada kebaikan, tetapi bentuk bagi setiap kebaikan pada titik ujian.” Sama ada anda seorang pelajar yang menghadapi peperiksaan, ibu bapa yang bergelut dengan keletihan, atau seorang percaya yang berjuang melawan ketakutan, keberanian sejati bukanlah ketiadaan ketakutan – ia adalah keberanian untuk melakukan perkara yang benar walaupun ada risiko.
“Keberanian menjadikan setiap kebaikan nyata apabila ia benar-benar diuji,” Pr Ann menyampaikan. “Keberanian adalah sebahagian daripada setiap kebaikan Alkitabiah kerana semua kebaikan ini memerlukan keberanian. Keberanian mengubah kepercayaan menjadi tindakan. Ia adalah apa yang mendorong kita untuk terus maju. Keberanian bukan semata-mata melakukan yang benar apabila keadaan selamat. Sebaliknya, ia melakukan yang benar walaupun ia berisiko dan mahal harganya. Ia adalah kekuatan untuk terus bergerak ke hadapan walaupun dalam ketakutan; ia adalah keyakinan kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Keberanian membuka tujuan Tuhan yang lebih besar dalam hidup kita.”
Tiga Sauh Keberanian yang Berlandaskan Tuhan
Pastor Ann menggariskan tiga asas yang melahirkan keberanian yang diperkasakan oleh Roh:

Janji Tuhan
Sama seperti Yosua yang memimpin bangsa Israel dengan jaminan daripada Tuhan – “Kuatkan dan teguhkanlah hatimu… Aku akan menyertai engkau” – orang percaya hari ini juga boleh berpegang teguh pada janji-janji-Nya. Pastor Ann mengingatkan jemaat bahawa ini bukan sekadar optimisme kosong. Ia mengenai hidup yang sejajar dengan Tuhan yang masih menulis sejarah. “Tuhan masih melakukan perkara yang menakjubkan,” katanya. “Persoalannya – adakah kita sudah ditahbiskan dan bersedia untuk mengikuti-Nya?” Pentahbisan, jelasnya, bukan sekadar ritual, tetapi tentang ketersediaan: hati yang berserah dan hidup yang dipersembahkan sepenuhnya sebagai korban yang hidup kepada Tuhan (Roma 12:1).
Perintah Tuhan
Dalam dunia yang penuh dengan pelbagai pendapat, Pastor Ann menegaskan bahawa keberanian sejati berpunca daripada Firman Tuhan. “Keberanian yang berlandaskan Alkitab tidak bermula dengan jeritan,” katanya, “tetapi dengan bisikan dari Firman Tuhan.”
Memetik Yosua 1:8, dia menggalakkan gereja untuk menjadi umat yang bukan sahaja membaca, tetapi juga taat kepada Firman, membenarkan kebenaran Tuhan membentuk keputusan, hubungan, dan panggilan hidup kita. Kita tidak dipanggil untuk sekadar bertindak balas terhadap budaya. Kita dipanggil untuk dibentuk oleh Kristus dan Gereja dipanggil bukan sekadar untuk bertahan, tetapi untuk memberi kesan kepada kota.
Kehadiran Tuhan
Akhir sekali, Pr Ann menyampaikan satu kebenaran yang paling memberi dorongan dan galakan: “Tuhanmu menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.” (Yosua 1:9).
Tuhan bukan hanya berada di destinasi – Dia bersama kita sepanjang perjalanan. Dari medan peperangan ke bilik mesyuarat, dari katil hospital ke rumah tangga, Tuhan mendahului umat-Nya. “Mukjizat berlaku apabila kita melangkah ke dalam air banjir,” kata Pastor Ann. “Walaupun dalam kekacauan, Dia tetap ada.”

Bagi gereja-gereja yang sedang menavigasi realiti pasca-pandemi, cabaran dari dunia politik, atau budaya yang bermusuhan, ulang tahun ke-45 DUMC dan khutbah Pr Ann menjadi satu peringatan yang bersifat nubuatan: Gereja tidak dipanggil untuk sekadar bertahan — ia dipanggil untuk hidup dalam realiti keyakinan kepada Tuhan, satu bentuk keberanian yang digerakkan oleh iman dan kepercayaan yang hidup kepada Tuhan yang Maha Kuasa.
Merujuk kepada Bilangan 13, Pastor Ann menyamakan Gereja hari ini dengan dua belas pengintip yang dihantar ke tanah Kanaan. Sepuluh daripadanya melihat gergasi dan berundur ketakutan. Dua orang – Yosua dan Kaleb – melihat raksasa yang sama, tetapi mereka juga melihat Tuhan. “Di dalam Kristus, kita bukan belalang,” katanya. “Kita lebih daripada para penakluk.”
John Wesley, yang pernah berkata “Berikan aku seratus orang yang tidak takutkan apa-apa selain dosa dan tidak inginkan apa-apa selain Tuhan, dan aku tidak peduli sama ada mereka pendeta atau awam; hanya orang-orang seperti inilah yang akan menggoncangkan pintu neraka dan mendirikan kerajaan syurga di atas bumi,” menjadi inspirasi yang sangat berkuasa.


Generasi dalam Perpaduan
Salah satu detik yang paling menyentuh pada pagi itu ialah apabila seluruh jemaah bersatu dalam satu pengisytiharan Perjanjian Komitmen yang merangkumi setiap generasi gereja. Perpaduan antara generasi ini mencerminkan komitmen mendalam DUMC untuk berakar umbi dalam Tuhan sambil berpandangan ke hadapan – memelihara warisan rohani sambil merintis bidang baharu. Perjanjian jemaah ini menggambarkan bahawa ia adalah misi bersama – satu misi kolektif. Kerja Tuhan sentiasa lebih besar daripada satu generasi sahaja.

Tatkala jemaah menutup perayaan dengan doa dan penyembahan, tiada rasa pengakhiran – yang ada hanya pengharapan. Pentakosta sememangnya bukanlah penghujung cerita. Ia adalah sebuah permulaan. Begitu jugalah dengan DUMC. Dalam dunia yang ditandai dengan ketakutan, keletihan, dan perpecahan, perayaan DUMC membawa satu mesej yang bersatu: Keberanian bukan datang daripada diri kita sendiri. Ia datang daripada hadirat Tuhan. Dan sebagai umat Tuhan, kita dipanggil untuk terus maju bersama-Nya.
Artikel diterjemahkan dari DUMC45: Faith, Courage, and a New Chapter
dan ditujukan kepada orang Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia. Artikel ini merupakan inisiatif bebas dan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan gereja Damansara Utama Methodist Church. Semua foto diambil daripada laman Facebook awam DUMC di https://www.facebook.com/dumcMY.
|Kongsilah Berita Baik|
Leave a Reply