Dari Tulang Kering kepada Pahlawan Rohani Hidup: Mengenal Tuhan dalam Pemulihan

 

Nota: Ini ialah sebuah artikel Kristian. Ia diilhamkan dari sebuah khutbah yang dikongsi di gereja SIB Skyline, Kota Kinabalu, pada 17 Ogos 2025 dan sejajar dengan wahyu yang dikongsi oleh Chuck Pierce semasa lawatan beliau ke Pulau Pinang pada bulan Julai lepas [Pautan ke artikel berkaitan (dalam Bahasa Inggeris): Following the Ark of the Presence – Chuck Pierce, Kingdom Release Asia, Asia Revival Centre, Penang]

 

Pada Hari Merdeka, rakyat Malaysia meraikan kebebasan. Kebebasan untuk berkumpul, untuk bersuara, untuk hidup tanpa ketakutan. Namun, sebagai orang Kristian, kita mesti ingat bahawa ramai saudara seiman di seluruh dunia masih beribadah secara rahsia – menyembunyikan Alkitab mereka, berbisik menyebut nama Yesus, dan mempertaruhkan nyawa demi apa yang kita sering ambil mudah. Kebebasan kita untuk berkumpul secara terbuka setiap Ahad adalah satu anugerah kasih karunia. Tetapi ia juga satu tanggungjawab. Tuhan memanggil gereja-Nya bukan sekadar untuk menikmati kebebasan, tetapi menggunakannya – melalui doa, syafaat, dan hidup sebagai umat-Nya di tanah ini.

Inilah sebabnya gereja di Malaysia memperuntukkan 40 hari doa dan puasa, menjelang 31 Ogos (Merdeka) dan 16 September (Hari Malaysia). Tarikh-tarikh ini bukan kebetulan. Ia adalah peringatan bahawa kebebasan tidak pernah murah, dan bahawa gereja harus berjuang dalam doa demi jiwa bangsa kita. Dalam dunia yang cepat mengeluh dan bergosip, Tuhan memanggil umat-Nya untuk bersyafaat – untuk berdiri di celah bagi Malaysia, untuk berjaga, untuk berjuang menentang kuasa-kuasa kegelapan.

 

Tangan Tuhan di Lembah

Alkitab sering berbicara tentang tangan Tuhan – tangan-Nya yang perkasa, benar, dan menopang. Pemazmur menyatakan, “Engkau membuka tangan-Mu dan mengenyangkan segala yang hidup” (Mazmur 145). Yesaya mengingatkan bahawa nama kita terukir di tapak tangan-Nya (Yesaya 49). Namun, tangan yang sama ini tidak selalu membawa kita ke padang rumput hijau atau puncak gunung. Kadangkala, seperti Yehezkiel, Tuhan menempatkan kita di sebuah lembah – lembah penuh tulang yang sangat kering (Yehezkiel 37:1–2).

 

Tak kira kita di gunung atau di lembah, tangan Tuhan yang berkuasa masih tetap menopang kita.

 

Ia adalah gambaran yang mengejutkan. Kaum Ibrani, umat pilihan Tuhan, terbaring berselerak dan mati rohani kerana ketidaktaatan mereka. Namun, di situ juga, tangan Tuhan tetap hadir. Mampukah kita menerima kebenaran ini – bahawa tangan yang sama yang menopang dan memberkati juga boleh membawa kita ke lembah? Jika kita dapat, ertinya kita percaya bukan hanya pada kuasa Tuhan tetapi juga pada kedaulatan-Nya. Sama ada di puncak kejayaan atau dalam jurang keputusasaan, tangan-Nya tetap bersama kita.

Lembah tulang kering bukan sekadar nubuat kuno tentang pemulihan semasa zaman nabi-nabi Alkitab. Ia juga sebuah cermin bagi gereja hari ini. Di Malaysia dan di seluruh dunia, banyak jemaat yang tersusun rapi, teratur, dan kelihatan sihat di luar. Namun struktur sahaja bukanlah kehidupan. “Ada urat, daging, dan kulit,” kata Yehezkiel, “tetapi belum ada nafas di dalamnya” (37:8). Kebenaran yang menyedihkan ialah gereja boleh memiliki tadbir urus, program, dan reputasi, tetapi kekurangan nafas Tuhan.

 

Struktur dan Kehidupan

Kontrasnya jelas: struktur tanpa kehidupan. Ramai di antara kita juga hidup dalam ketegangan ini. Kita mungkin membawa rupa luaran Kristian – hadir ke gereja pada Ahad, sertai kumpulan kecil, bahkan terlibat dalam pelayanan. Tetapi adakah kita membawa kehidupan Kristus dari Isnin hingga Sabtu? Adakah perjalanan iman kita sekadar bentuk luaran, ataukah ia bernafas dengan Roh-Nya?

 

Same seperti rasul-rasul awal, kita dipanggil untuk membawa kehidupan Kristus dari hari ke hari.

 

Jawapannya terletak pada nafas Tuhan. Ketika Yehezkiel bernubuat kepada empat angin, nafas itu masuk ke dalam tubuh yang mati, dan mereka bangkit sebagai “tentera yang sangat besar” (37:10). Itulah kerinduan Tuhan – bukan sahaja untuk menghidupkan, tetapi untuk menggerakkan. Gereja tidak dipanggil sekadar untuk berkumpul, tetapi untuk diutus. Kesihatan umat Tuhan tidak hanya diukur dengan kehadiran pada Ahad, tetapi juga dengan ketaatan pada hari-hari lain. Kita bukan hanya penyembah yang berkumpul – kita adalah murid yang diutus.

 

Kristianiti Klasik vs. Ringan

Sebuah video satira moden menggambarkan ini dengan baik. Ia membandingkan “Kristianiti Klasik” dengan “Kristianiti Ringan.” Dalam versi ringan, dosa ditafsir semula, pemuridan adalah pilihan, dan Yesus sekadar menjadi jurulatih kehidupan. Ia menawarkan semua istilah iman tanpa harga yang perlu dibayar. Ia adalah Kristianiti tanpa salib.

Tetapi Kristianiti sejati – “klasik” – tidak boleh dipisahkan daripada pengorbanan. Yesus bukan sekadar ahli terapi atau pemberi semangat. Dia adalah Tuhan, Tuan, dan Penebus kita. Alkitab bukan pilihan; ia adalah Firman Tuhan yang berkuasa. Pemuridan bukan keselesaan; ia menuntut penyangkalan diri dan ketaatan. Hidup beriman bukan tentang “ikut suka hati kita”; ia tentang kekudusan – dikhususkan bagi Tuhan.

 

Yesus bukan sekadar ahli terapi atau pemberi semangat. Dia adalah Tuhan, Tuan, dan Penebus kita.

 

Kita mesti bertanya dengan jujur: Versi manakah yang kita hidupi? Adakah kita tergelincir ke dalam “mod ringan” apabila ditekan budaya, keselesaan, atau kompromi, lalu beralih semula ke “mod klasik” bila di gereja? Jika ya, penglihatan Yehezkiel memanggil kita kembali. Tuhan tidak mencari separuh murid. Dia sedang membangkitkan tentera yang dipenuhi Roh-Nya.

 

Urat dan Firman

Dalam penglihatan Yehezkiel, Tuhan berbicara tentang meletakkan urat pada tulang. Urat bukanlah bahagian yang menonjol, tetapi fungsinya sangat penting. Ia menghubungkan otot dengan tulang, memberi kemampuan untuk bergerak. Tanpa urat, tubuh mungkin punya kekuatan, tetapi tidak dapat bertindak.

Begitu juga dengan Firman Tuhan. Kitab Suci memberi arah dan gerakan kepada umat Tuhan. Penyembahan memberi kita kekuatan, tetapi Firman menyalurkan kekuatan itu kepada ketaatan. “Firman-Mu adalah pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku” (Mazmur 119:105). Firman mempersatukan kita, mengikat kita dalam kebenaran, dan menahan kita dalam tekanan. Sama seperti urat menstabilkan tubuh di bawah beban, Firman Tuhan menstabilkan gereja dalam masa ujian.

 

Sama seperti urat menstabilkan tubuh di bawah beban, Firman Tuhan menstabilkan gereja dalam masa ujian.

 

Lima Deklarasi Tuhan

Di penghujung Yehezkiel 37, Tuhan memberikan lima janji “Aku akan” kepada umat-Nya:

 

  1. Aku akan membuka kuburmu” – Tuhan menyelidiki dan menyingkapkan, bukan untuk mempermalukan, tetapi untuk membawa kita ke dalam terang.
  2. Aku akan membangkitkan kamu dari kuburmu” – Dia membangkitkan harapan yang mati dan impian yang hancur.
  3. Aku akan membawa kamu ke tanahmu sendiri” – Dia menunaikan janji-Nya dan memulihkan yang telah hilang.
  4. Aku akan menaruh Roh-Ku di dalammu” – Dia memberi keberanian dan kuasa untuk hidup berbeza.
  5. Aku akan menempatkan kamu di tanahmu sendiri” – Dia meneguhkan umat-Nya, mengakar mereka dalam tujuan-Nya.

 

Ini bukan sekadar kata-kata kosong. Ia adalah deklarasi atas gereja, atas keluarga, atas individu yang merasa terputus dan tidak berdaya. Tuhan bukan hanya menghidupkan; Dia mengutus. Dia bukan sekadar menyembuhkan; Dia menggerakkan.

 

Gereja yang Dimobilisasi

Penglihatan itu berakhir dengan gambaran sebuah pasukan askar. Bukan pasif, bukan stagnan, tetapi hidup dan bergerak di bawah kuasa Roh Tuhan. Inilah takdir gereja di Malaysia dan di seluruh dunia. Kita tidak dipanggil untuk Kristianiti Ringan, puas dengan bentuk tetapi kosong daripada kehidupan. Kita dipanggil untuk menjadi umat yang dipenuhi, dipimpin, dan digerakkan Roh – pahlawan-pahlawan rohani yang sangat berkuasa.

Untuk sampai ke situ, kita mesti menggabungkan pengumpulan dan pengutusan. Kita berkumpul untuk menyembah, untuk bersatu, untuk dibangun. Tetapi kita juga diutus – ke tempat kerja, sekolah, rumah, dan komuniti – untuk menghidupi Injil. Gereja yang sihat tidak hanya diukur dengan berapa ramai hadir pada Ahad, tetapi dengan berapa ramai yang menjawab panggilan pemuridan secara tekad dari hari ke hari.

 

Gereja yang sihat tidak hanya diukur dengan berapa ramai hadir pada Ahad, tetapi dengan berapa ramai yang menjawab panggilan pemuridan secara tekad dari hari ke hari.

 

Penglihatan Pengharapan bagi Setiap Orang Percaya

Lembah tulang kering Yehezkiel adalah penglihatan pengharapan bagi setiap orang percaya dan setiap gereja. Ia menunjukkan bahawa tangan Tuhan mungkin membawa kita ke lembah, tetapi tidak pernah meninggalkan kita. Ia menyatakan bahawa struktur sahaja tidak mencukupi – kita memerlukan nafas, kehidupan, dan Roh. Ia mengingatkan bahawa Firman Tuhan yang menggerakkan, mengikat, dan menstabilkan kita. Dan ia menegaskan bahawa umat Tuhan ditentukan bukan sekadar untuk bertahan, tetapi untuk bangkit – sebagai pasukan yang sangat besar, yang dipenuhi Roh-Nya.

Di Malaysia, ketika kita memperingati Merdeka dan Hari Malaysia, penglihatan ini sangat tepat pada masanya. Bangsa kita bukan sahaja memerlukan tadbir urus yang baik dan struktur yang kuat, tetapi juga nafas dan kehidupan daripada Tuhan. Gereja mesti bangkit melampaui Kristianiti Ringan, melampaui bentuk tanpa isi, untuk menerima panggilan klasik Kristus: untuk kudus, untuk diutus, untuk dipenuhi Roh-Nya.

Kiranya kita menjadi pahlawan-pahlawan itu – dipenuhi Roh, dipimpin Roh, digerakkan hadirat-Nya – bersinar sebagai umat Tuhan di tanah kita, memerangi kuasa-kuasa kegelapan demi negara kita. 

 

Ini adalah sebuah artikel Kristian yang ditulis melalui lensa iman penganut Kristian dan ditujukan untuk pembaca Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia.

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*