Apakah Baiknya Hari Good Friday (juga dikenali sebagai Jumaat Agung)?

Good Friday/ Jumaat Agung: Hari Kematiaan Dikalahkan (Ruj: wolcottbiblechurch)

 

Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian

 

Artikel asal ditulis oleh Dr. Lim Poh Ann; Diterjemahkan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia oleh Jason Law, CM, dengan bantuan daripada Penatua Steven Fung, dan Goh Lay Hua

 

Mengapakah kita menyimpan kenangan hidup tentang seorang lelaki yang tidak bersalah dan mati di kayu salib dua ribu tahun yang lalu?

 

Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai.” (Yohanes 19:30, Alkitab Versi Borneo; Ruj: Biblica)

 

Pada hari Jumaat Agung, atau Good Friday seperti disebut dalam kalangan sesetengah orang, kita mengingati Kristus yang disalibkan untuk dosa manusia.

Tetapi mengapakah kita memanggilnya ‘baik’? Ini sebab kematian Kristus menjamin kita beberapa faedah. Mari kita renungkan semua perkara-perkara baik akibat daripada kematian Yesus di atas kayu salib.

 

Mazmur 103: 1-5

1Pujilah TUHAN, wahai jiwaku;

dan segala yang dalamku, pujilah nama-Nya yang suci.

2Pujilah TUHAN, wahai jiwaku,

dan jangan lupakan segala rahmat-Nya –

3Dia mengampunkan segala dosamu,

Dia menyembuhkan segala penyakitmu,

4Dia menebus nyawamu daripada kemusnahan,

Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih,

5Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik

supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali.

 

Kristus bukan sahaja mengampuni dosa-dosa kita tetapi juga menyembuhkan penyakit kita melalui kematian-Nya. Melalui kebangkitan-Nya, tiga hari selepas kematian-Nya, Dia mengalahkan maut, dosa dan iblis.

 

Dia Datang untuk Membayar Hutang Yang Dia Tidak Berhutang Kerana Kami Berhutang Hutang Yang Tidak Dapat Kami Bayar (Ruj: Amazing_Facts)

 

Kematian, Di Manakah Sengatmu?

Kebangkitan Yesus ialah suatu lambang harapan. Ada kehidupan selepas kematian bagi orang yang beriman – iaitu kehidupan kekal abadi di syurga. Sama seperti kematian Yesus bukanlah muktamad, kematian fizikal juga bukanlah muktamad bagi mereka yang percaya kepada-Nya.

Yesus berkata, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.” (Yohanes 11:25). Bolehkah kita renungkan janji lain yang menawarkan harapan yang jauh lebih besar bagi seseorang apabila dia melangkah di lembah kematian?

 

Kemenangan Atas Dosa

Orang yang percaya dahulunya mati secara rohani. Seperti dunia yang lain, kita dahulunya hidup dalam dosa, taat kepada iblis – panglima kuasa di dunia ghaib – dan mengikuti keinginan nafsu tabii kita yang berdosa (Efesus 2:1-3).

Kebangkitan Kristus membolehkan orang percaya menjalani kehidupan yang menang. Kuasa dosa ke atas mereka telah dipatahkan.

 

Ruj: mrcapwebpage

 

Bagaimanakah ini dicapai? Pertama, orang yang percaya menyatu-padukan diri dengan kematian Kristus dengan kematian kepada dosa. Kematian diri ini dilambangkan dengan  pembaptisan. Dan sama seperti Kristus telah dibangkitkan dari antara orang yang telah meninggal, demikian juga orang yang percaya diberi kuasa oleh Roh Kudus untuk menjalankan kehidupan yang baru (Roma 6:3-11, Galatia 5:16). Dibebaskan dari perhambaan kepada kecenderungan sifat berdosa mereka, mereka mampu melawan Syaitan dan tidak lagi mengalami murka Tuhan (Roma 8:1-2, Yakobus 4:7).

Selagi kita memilih untuk berjalan mengikut Roh, mati kepada diri sendiri, meletakkan keinginan mementingkan diri kita di kaki salib, kita akan memenangi pertempuran melawan sifat tabii. “Bagi orang yang hidup menurut sifat tabii yang berdosa, fikirannya tertumpu kepada apa yang diingini oleh sifat tabii itu; tetapi bagi orang yang hidup menurut Roh, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh Roh.” (Roma 8:5).

Dengan memilih untuk ‘berjalan menurut Roh’, kita tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii (Galatia 5:16).

Apakah langkah-langkah praktikal yang terlibat? Dekatkan diri kepada Tuhan; dedahkan diri kepada orang dan hidup di mana Tuhan dimuliakan; berdoa dalam Roh; mendengar mesej yang menaikkan semangat; menyembah Tuhan; bergaul dengan orang beriman yang lain.

 

Iblis Dikalahkan

Kematian Kristus di atas kayu salib juga membukakan jalan bagi kekalahan Iblis. “Anak Tuhan telah menyatakan diri, supaya Dia membinasakan perkerjaan Iblis” (1 Yohanes 3:8). Kristus “melucuti para penguasa dan penguasa rohani” dan “mempermalukan mereka di depan umum” dengan kemenangan-Nya ke atas mereka di kayu salib (Kolose 2:15). Orang-orang yang percaya, yang kini duduk di tempat syurga di sebelah Kristus, berehat dalam kedudukan kemenangan yang tinggi ini ke atas kerajaan dan kuasa iblis (Efesus 2:6). Pertempuran telah pun dimenangi.

Sekarang tugas bagi orang yang percaya adalah untuk menegakkan kemenangan yang telah Kristus capai untuk mereka di kayu salib. Bagaimanakah kita melaksanakan kemenangan ini? Melalui penyembahan, doa peperangan, kesaksian, memberitakan dan mengesahkan kebenaran, dan memerintahkan roh-roh jahat untuk meninggalkan diri dari kehadiran kita dengan mengambil kuasa atas mereka (Efesus 6:10-11, Matius 4:10, Markus 5:8, Wahyu 12:11).

 

Ruj: skipper810@wordpress

 

Dosa membuka pintu kepada iblis dan roh jahat untuk memasuki hidup kita. Jika kita digoda oleh musuh, kita diberitahu untuk tunduk kepada Tuhan, melawan dalam kuasa Roh Kudus dan iblis akan melarikan diri (Yakobus 4:7). Yesus tahu bagaimana untuk menegur iblis dengan Firman ketika Dia digoda (Matius 4:1-11). Apabila iblis menanamkan fikiran negatif, mengecilkan hati, atau merosakkan fikiran kita, sudah tiba masanya untuk mengisytiharkan firman Tuhan untuk menentang dustanya dan merobohkan kubu-kubu yang telah ditetapkan oleh si jahat dalam fikiran kita (2 Korintus 10:3-5). Apabila kita tidak mengetahui kebenaran, kita mengalami kehancuran. Sesungguhnya, kita harus diperlengkapi dengan Firman.

Puji Tuhan bahawa iblis yang merupakan musuh kita telah dikalahkan. Suatu hari nanti, Iblis akhirnya akan dicampakkan ke dalam lautan api (Wahyu 20:10).

 

Ringkasnya, kematian dan kebangkitan Kristus menyempurnakan lima perkara bagi kita:

 

  • Pengampunan dosa dan pemulihan hubungan kita dengan Tuhan (Roma 10:9, 13)
  • Penyembuhan penyakit (Mazmur 103:3)
  • Kematian telah kehilangan sengatnya (1 Korintus 15:55, Yohanes 11:25)
  • Kemenangan atas dosa (Roma 8:1-2)
  • Kekalahan syaitan (1 Yohanes 3:8, Kolose 2:15)

 

Semasa kita merenung semua perkara-perkara di atas pada Hari Paskah ini, marilah kita belajar untuk bersyukur. Semoga hidup kita berkenan kepada Tuhan sehubungan dengan apa yang telah Kristus lakukan untuk kita.

Hari Jumaat Agung atau Good Friday sememangnya baik untuk orang yang percaya yang tahu bagaimana untuk menerima manfaat yang dijamin oleh Kristus untuk semua melalui kematian-Nya.

 

Ini sebuah artikel Kristian yang ditulis melalui lensa iman penganut Kristian dan ditujukan untuk pembaca Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia. Artikel ini diadaptasi dan diterjemahkan daripada artikel yang pada asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris dan bertajuk What’s So Good About Good Friday? Christianity Malaysia berterima kasih kepada Goh Lay Hua dan Penatua Steven Fung atas bantuan mereka dalam penyemakan penterjemahan artikel ini.  

Artikel asal mempunyai renungan lanjut yang berkaitan dengan topik.

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*