Setahun Selepas Penyerahan: Pastor Chew, Pengasas SIB KL, Renungkan Melepaskan dan Melangkah ke Hadapan

 

Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian. Artikel ini mendapat ilham daripada sepasang temu bual video terkini yang dikendalikan oleh Pastor Kanan SIB KL sekarang, Pastor Isaac Ling bersama Pastor Pengasas, Pastor Chew Weng Chee. Temu bual ini dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan boleh ditonton di saluran YouTube SIB KL.

 

Sudah setahun berlalu sejak SIB KL menyaksikan satu detik bersejarah – peralihan kepimpinan daripada Pastor Chew Weng Chee kepada Pastor Isaac Ling pada 7 Julai 2024. Setahun kemudian, pengasas gereja ini duduk berbicara bersama Pastor Isaac dalam satu perbualan yang intim dan jujur untuk merenungkan perjalanan sepanjang tahun lalu – baik dari sudut peribadi mahupun arah gereja secara keseluruhan.

“Leganya. Lepasnya. Melimpah dengan kesyukuran,” itulah bagaimana Pastor Chew menggambarkan musim hidupnya sekarang. Selepas puluhan tahun menerajui SIB KL, beliau kini hidup dalam satu tempat perhentian yang penuh sukacita. “Ramai rakan pastor kanan saya kata, ‘Kamu nampak tenang sekarang.’ Dan memang betul. Sebab saya tahu beban ini bukan milik saya lagi.”

Namun, melepaskan tidak bermakna berundur. “Saya bukan lega sebab boleh duduk diam,” jelasnya. “Saya dilepaskan untuk buat perkara yang dahulu saya tidak sempat buat. Ini masa Tuhan.” Dari penglibatan di peringkat kebangsaan hinggalah membimbing pemimpin muda, Pastor Chew terus melayani – namun kini dalam peranan barunya sebagai Pastor Pengasas.

Peralihan itu sendiri, katanya, adalah gambaran kasih kurnia Tuhan. “Gereja telah bertumbuh – sekurang-kurangnya 10 hingga 15% dalam setahun,” katanya. “Tapi yang lebih penting, generasi lama dan muda sama-sama berkembang. Itu dulu kerisauan utama kami – adakah generasi tua akan kekal, dan adakah generasi muda akan bangkit?”

Dan kedua-duanya telah berlaku. Beliau memuji kesetiaan generasi lama dan kelaparan generasi muda terhadap kedalaman dan pemuridan. “Kamu sedang membangunkan generasi baru yang akan berlari bersama kamu untuk 20 tahun akan datang,” katanya kepada Pastor Isaac. “Dan kami yang lebih tua, kami tidak dilupakan – kami masih diperlukan. Itu sangat menggembirakan.”

Salah satu aspek paling mengesankan dalam perbualan ini ialah penghormatan dua hala yang terserlah. Pastor Isaac secara terbuka mengakui kehadiran berterusan Pastor Chew sebagai satu kekuatan penstabil dalam gereja. “Walaupun kamu dah serah kepimpinan, kamu masih ada,” katanya. “Kamu sentiasa dialu-alukan, sentiasa dirujuk.”

Pastor Chew pula mengakui bahawa peralihan mengambil masa. “Baru setahun berlalu. Tak perlu tergesa-gesa. Peralihan bukan sekadar serah tugas – ia melibatkan hati, budaya, dan kepercayaan. Itu ambil masa bertahun.”

Beliau juga berkongsi pandangan tentang apa yang menjadikan peralihan kepimpinan berjaya: pemimpin lama perlu kekal, tetapi tidak mendominasi. “Pastor kanan lama mesti masih ada – tapi tak boleh terlalu menonjol atau terlalu hilang. Cukup hadir untuk memberkati tanpa bersaing.”

Namun, itu tidak datang tanpa cabaran. “Saya pun sedang belajar,” akui Pastor Chew. “Ini wilayah yang belum pernah saya lalui. Sejauh mana saya perlu masuk campur? Sejauh mana saya perlu berundur? Kadang-kadang saya tersilap langkah, tapi saya sedang mencuba.”

Apa yang menguatkannya ialah visi nubuatan yang membimbingnya selama lebih 30 tahun. Beliau mengimbau satu detik pada tahun 1991, sebelum masuk ke sekolah Alkitab, apabila seorang nabi berkata, “Kamu akan gali telaga seperti Ishak. Ada yang akan ditimbus, tapi jangan bergaduh – terus gali yang baru.” Nubuatan itu disertai janji: “Di musim akhir kamu, kamu akan sampai ke Beersheba – telaga perjanjian. Dan telaga itu akan terus mengalir.”

Hari ini, Pastor Chew percaya dia sedang hidup dalam musim Beersheba itu – satu titik pertemuan segala yang Tuhan telah lakukan melalui hidup dan pelayanannya. “Saya pernah lawat telaga itu di Israel – airnya masih ada. Itulah yang saya mahu untuk hidup saya: biarlah telaga itu terus mengalir.”

Apabila perbualan berakhir, kedua-dua pastor menyatakan rasa syukur yang mendalam – bukan sahaja kerana peralihan yang berjaya, tetapi untuk masa depan yang Tuhan sediakan. “Kalau inilah yang Tuhan boleh buat dalam setahun,” kata Pastor Isaac, “saya tak tahu apa yang akan jadi lima tahun lagi – tapi saya tahu, pasti baik.”

Pastor Chew bersetuju. “Tiada sekelumit pun rasa negatif dalam diri saya. Hanya pengharapan. SIB KL milik Tuhan – bukan milik kamu, bukan milik saya. Kita cuma penjaga. Dan air itu masih mengalir.”

Segala-galanya menunjukkan bahawa Pastor Chew Weng Chee kini berada dalam musim damai. Selepas lebih tiga dekad memimpin SIB KL, pastor pengasas ini kini melangkah ke babak baru – bukan babak pengunduran, tetapi penyaluran semula panggilan. Dalam perbualan penuh kejujuran bersama Pastor Isaac, penggantinya, Pastor Chew berkongsi tentang keindahan peralihan kepimpinan, kerinduannya terhadap tubuh Kristus yang lebih luas, dan harapannya yang kekal terhadap gereja yang telah dibinanya.

“Saya tak tahu berapa banyak saya perlu tunjukkan diri supaya orang tahu saya masih ada… dan berapa banyak saya perlu berundur,” katanya dengan ikhlas. “Ini wilayah yang saya belum pernah jejak.”

Namun di sebalik ketidakpastian itu terserlah ketenangan yang lahir daripada keyakinannya pada Tuhan dan semangat kesyukuran yang membentuk hidup dan pelayanannya. Beliau cukup yakin untuk melepaskan, cukup hadir untuk menjadi penstabil, dan cukup rendah hati untuk terus belajar.

Apa yang membantu SIB KL mengharungi fasa ini dengan baik, katanya, adalah hubungan simbiotik – di mana saling hormat dan rendah hati menjadi asas. “Setakat ini, kita buat dengan betul,” kata Pastor Chew. “Saya takkan bersaing dengan kamu, Isaac. Saya akan sentiasa menyokong kamu… tetapi saya juga akan sentiasa tersedia di belakang tabir. Bila orang nampak saya, mereka nampak kestabilan – dan juga kemajuan.”

Keputusan untuk kekal kelihatan tetapi tidak dominan adalah satu pilihan yang disengajakan. “Orang masih perlu nampak Pastor Chew di hadapan,” katanya, mengakui kepercayaan yang telah dibinanya bersama jemaah. Tetapi dia menegaskan: pengurusan harian gereja kini sepenuhnya di bawah Pastor baru. “Gereja ini milik kamu,” katanya. “Saya tak mahu terlibat dalam apa-apa urusan pengendalian. Saya bukan lagi Senior Pastor.”

Bagi Pastor Isaac, kehadiran Pastor Chew bukan satu ancaman, tetapi satu penghiburan. “Saya rasa lega bila kamu ada,” kongsinya. “Sebab saya tahu, kalau ada keputusan yang perlukan pengalaman dan kebijaksanaan, saya boleh rujuk kamu.”

Sikap terbuka dan rendah hati ini tidak luput daripada perhatian. Pastor Isaac memuji keupayaan pendahulunya untuk berjalan atas garisan halus antara kelihatan dan tersembunyi – satu tanda, katanya, seorang pemimpin yang benar-benar yakin akan panggilannya. “Kamu tahu panggilan kamu, tempat kamu, masa kamu, dan musim kamu,” katanya. “Saya harap bila tiba masa saya nanti, saya akan ada keyakinan yang sama.”

Kini dalam “musim Beersheba”-nya, satu istilah yang menggambarkan masa rehat, refleksi, dan pelayanan yang lebih luas, Pastor Chew mengalihkan perhatiannya kepada negara. “Tuhan letakkan dalam hati saya untuk memberkati tanah ini,” kongsinya. Melalui apa yang dipanggilnya Lentil Patch Ministry, Pastor Chew dan pasukannya sedang memperkukuh gereja-gereja kecil di seluruh Semenanjung Malaysia, khususnya yang terpinggir atau kurang sumber.

Buah pelayanan ini sudah mulai kelihatan. “Pastor-pastor dari pekan kecil sedang berkumpul, berdoa, dan berhubung,” katanya dengan sukacita. “Bahkan beberapa bulan selepas retret, mereka masih mesej kami, beritahu bagaimana mereka diberkati.” Retret-retret baru sedang dirancang – di utara, timur, dan juga dalam kalangan pastor berbahasa Tamil – dengan matlamat memperkukuh kesatuan dan kekuatan tubuh Kristus yang lebih luas.

Melihat ke hadapan, doa Pastor Chew untuk SIB KL sangat ringkas tetapi mendalam: kesyukuran dan kebersamaan. “Mari kita bersyukur kepada Tuhan. Tuhan sudah berkati SIB KL. Jiwa-jiwa diselamatkan, gereja bertumbuh, dan pelayanan berkembang,” katanya. “Boleh bayang tak? 3,000 orang tua bersyukur setiap hari – malaikat pun boleh rehat!”

Beliau juga membawa hati pastoral untuk semua generasi dalam gereja. “Saya mahu lihat orang-orang tua menua bersama saya, tamatkan hidup dengan kuat, dan tetap percaya pada gereja,” katanya. “Dan saya mahu lihat generasi baru berlari bersama Pr Isaac untuk 20 atau 30 tahun akan datang.”

Dalam dunia yang sering dirundung perpecahan generasi dan ketegangan kepimpinan, kisah Pastor Chew adalah satu kesaksian kuat tentang apa yang boleh terjadi apabila baton dipas dari satu tangan ke tangan lain – bukan hanya dengan strategi, tetapi dengan keselamatan, keikhlasan, dan roh kesyukuran.

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*