Perhimpunan Hari Doa Malaysia 2025 di Gereja St Faith, Kuching: Satu Seruan kepada Kesatuan dan Pengharapan

 

Nota: Ini ialah sebuah artikel Kristian. Artikel ini meliputi sebuah Ibadah Ekumenikal CCM–ACS yang diraikan pada Hari Malaysia, 16 September 2025, di Gereja St. Faith, Kuching, Sarawak. Walaupun ini kali pertama acara ini diadakan secara besar-besaran di Malaysia Timur, ibadah di Kuching hanyalah salah satu daripada banyak lagi perayaan doa yang berlangsung di seluruh negara, termasuk di pelbagai gereja-gereja di Semenanjung Malaysia. Siaran ibadah sepanjang hari itu boleh ditonton di https://shorturl.at/7TwqP

 

 

Pada Hari Malaysia 2025, umat Kristian daripada pelbagai denominasi berkumpul di Gereja St. Faith, Kuching untuk Hari Doa Malaysia – satu ibadah ekumenikal yang dianjurkan oleh Council of Churches of Malaysia [Majlis Gereja-Gereja Malaysia] (CCM) dan Association of Churches in Sarawak [Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak] (ACS). Tema yang diambil daripada doa Yesus sebagai Imam Besar dalam Yohanes 17:21 berbunyi ringkas namun mendalam: “Supaya mereka semua menjadi satu.”

Dalam sebuah negara yang terdiri daripada kepelbagaian budaya, bahasa, dan sejarah, kata-kata ini membawa makna yang istimewa. Ia mengingatkan Gereja di Malaysia bahawa kesatuan bukanlah satu pilihan sampingan – ia terletak di pusat kesaksian Injil di Malaysia.

 

Archbishop Simon Poh (dalam jubah putih) menyambut kedatangan para tetamu.
Gereja St Faith dipenuhi orang semasa perayaan ibadah Hari Malaysia

 

Perarakan Pujian

Pagi itu bermula dengan perarakan yang penuh sukacita diiringi nyanyian pujian “To God Be the Glory.” Ketika para paderi, ahli koir, dan pemimpin pujian melangkah masuk ke ruang ibadah, seluruh jemaat bangun berdiri, menaikkan suara syukur kepada Tuhan yang telah “membuka pintu kehidupan agar kita boleh masuk.” Korus pujian — “Praise the Lord, let the people rejoice!” (“Pujilah Tuhan, biarlah umat-Nya bersukacita!”) — seakan menangkap degupan hati perhimpunan hari itu.

 

Ketika para paderi, ahli koir, dan pemimpin pujian melangkah masuk ke ruang ibadah, seluruh jemaat bangun berdiri, menaikkan suara syukur kepada Tuhan yang telah “membuka pintu kehidupan agar kita boleh masuk.

 

Sejak permulaan, jelaslah bahawa ibadah ini adalah lebih daripada sekadar peringatan simbolik. Ia adalah perhimpunan yang disengajakan dan diitujukan untuk mengingat kesetiaan Tuhan, mengakui dosa bangsa dan peribadi, serta memohon belas kasihan dan pimpinan-Nya bagi tahun-tahun yang akan datang.

 

Mengenang Kelahiran Sebuah Negara

Canon Bradley, Vikar St. Faith, memimpin Proklamasi Hari dengan mengingat kembali peristiwa 16 September 1963, ketika Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura bergabung membentuk Malaysia. Proklamasi asal yang dibacakan di Stadium Merdeka menegaskan bahawa Malaysia didirikan atas kebebasan dan keadilan, berkomitmen kepada keamanan dan keharmonian rakyatnya.

Mendengar kembali kata-kata itu di dalam ruang gereja menjadi peringatan bahawa kisah Malaysia bukan sekadar bersifat politik, tetapi juga rohani. Kelahiran negara adalah anugerah daripada penyelenggaraan Tuhan, dan Gereja di Malaysia dipanggil untuk berdoa untuk destinasinya.

 

Canon Bradley, Vikar St. Faith, memimpin Proklamasi Hari dengan mengingat kembali peristiwa 16 September 1963, ketika Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura bergabung membentuk Malaysia. 
Ibadah Hari Malaysia di dalam Gereja St Faith

 

Seterusnya jemaat berdiri menyanyikan Lagu Kebangsaan, Negaraku, diikuti oleh Ibu Pertiwiku untuk Sarawak. Lagu patriotik “Malaysia Bagi KemuliaanMu” dinyanyikan sebagai pengakuan iman – bahawa tujuan akhir Malaysia adalah untuk memantulkan kemuliaan Tuhan.

 

Pujian, Pengakuan, dan Kesyukuran

Ibadah bergerak dengan lancar antara syukur dan pertobatan. Bishop Thomas Low dan Penatua Lim Kar Hor memimpin jemaat dalam Panggilan untuk Beribadah serta Doa Hari Perayaan, diikuti dengan nyanyian lagu “Great is Thy Faithfulness / Besar Setia-Mu” dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Nyanyian dwibahasa yang dipimpini oleh dua gereja (St Thomas’s Cathedral dan Gereja St Faith) ini mencerminkan kenyataan bahawa rahmat Tuhan diperbaharui setiap pagi untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau bahasa.

 

Bishop Thomas Low memimpin jemaat dalam Panggilan untuk Beribadah
Doa Hari Perayaan dipimpini oleh Penatua Lim Kar Hor.

 

Kemudian tibalah masa pengakuan yang khusyuk. Melalui doa responsif yang dipimpini oleh Archdeacon Philip Tauk, jemaat mengakui betapa sering kita menyimpang daripada jalan Tuhan:

 

“Dalam keputusasaan kami, Engkaulah Harapan kami.”

“Dalam kekeliruan kami, Engkaulah Hikmat kami.”

“Walaupun Engkau baik… kami telah berdosa terhadap-Mu, dan melakukan yang salah.”

 

Pengakuan ini bukan samar-samar atau jauh, tetapi ikhlas – menamakan kegagalan kolektif dengan jujur dan rendah hati sambil berpaut pada janji pengampunan Tuhan bagi umat-Nya merendahkan diri, berdoa, dan berpaling daripada jalan yang salah.

Rentak ibadah ini – kesyukuran, pengakuan, dan penyerahan – memberi kedalaman dan keseimbangan. Ia bukan semata-mata tentang kebanggaan negara, tetapi tentang menundukkan Gereja di Malaysia yang di bawah ketuanan Kristus.

 

Doa Syafaat untuk Malaysia

Inti ibadah ditemui dalam doa syafaat, setiap satunya berlandaskan Firman Tuhan dan dipimpin oleh wakil daripada pelbagai denominasi.

 

Untuk negara dan para pemimpin: Doa dinaikkan untuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, ahli-ahli Parlimen, dan penjawat-penjawat awam – agar mereka bertindak dengan adil, bijaksana, dan penuh belas kasihan.

Untuk keamanan dan kesatuan rakyat Malaysia: Supaya Tuhan mengikat keluarga, komuniti, dan generasi dalam kasih dan saling menghormati.

Untuk generasi muda: Kanak-kanak dan belia-belia diserahkan kepada penjagaan Tuhan, agar mereka bertumbuh dalam iman dan diperlengkapi untuk melayani Tuhan, Raja, dan Negara.

 

Rev Johnson Lapok mengingatkan jemaat dengan Amos 5:24: “Biarlah keadilan bergulung-gulung seperti air, dan kebenaran seperti sungai yang tidak pernah kering.” Seruan kepada keadilan ini bukan sesuatu yang abstrak; ia menegaskan bahawa kesatuan tanpa kebenaran hanyalah kosong.

 

Doa pada hari itu meliputi banyak perkara.

 

Doa juga merentasi sempadan Malaysia – untuk ciptaan Tuhan, Gereja sedunia, dan negara-negara yang dilanda konflik. Dari Myanmar sehingga Ukraine, dari Israel sehingga Palestin, doa mengakui kepatahan dunia sambil berpaut pada kata-kata Kristus dalam Yohanes 16:33: “Kuatkanlah hati! Aku telah mengalahkan dunia.”

 

Persembahan dalam Pelbagai Bahasa

Salah satu detik paling menyentuh ialah semasa nyanyian persembahan “Amazing Grace.” Lagu ini didendangkan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Mandarin, dan Iban, mencerminkan kepelbagaian Malaysia. Lidah yang berbeza membawa melodi kasih kurnia yang sama, membentuk gambaran kesatuan dalam Kristus yang melampaui batas budaya.

 

Apa yang menjadikan perayaan ini istimewa ialah penyatuan pelbagai budaya yang datang bersama. Gambar bersama Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM), Rev Philip Lok (kiri).
Tema yang diambil daripada doa Yesus sebagai Imam Besar dalam Yohanes 17:21 berbunyi ringkas namun mendalam: “Supaya mereka [umat Tuhan] semua menjadi satu.”

 

Doa persembahan menegaskan bahawa berkat Tuhan bukan hanya berbentuk material, tetapi juga merangkumi kebebasan, kebenaran, keadilan, dan kasih. Persembahan hari itu dipersembahkan bukan sahaja untuk pelayanan Gereja, tetapi untuk visi Malaysia sebagai tanah yang dipenuhi dengan belas kasihan Kristus.

 

Nyanyian Penyerahan dan Pengutusan

Sepanjang ibadah, himne dan lagu pujian memberi suara kepada doa umat:

 

Be Thou My Vision” –  lagu penyerahan dan pimpinan.

Take My Life and Let It Be” –  lagu pemuridan dan pengudusan.

Spirit Touch Your Church” – doa kebangunan rohani.

Make Me a Channel of Your Peace” – doa untuk menyalurkan kasih pendamaian Kristus.

 

Ibadah ditutup dengan “Shine, Jesus Shine” sebagai lagu pengutusan. Korusnya – “Penuhi bumi ini dengan kemuliaan Bapa, Roh Kudus, nyalakan api-Mu di hati kami” – menjadi doa bersama yang bergema hingga ke akhir.

 

Sepanjang ibadah, himne dan lagu pujian memberi suara kepada doa umat.

 

Kesatuan sebagai Kesaksian

Dalam khutbahnya, Archbishop Simon Poh merenungkan tema kesatuan. Dengan memetik Yohanes 17, beliau mengingatkan jemaat bahawa Yesus berdoa supaya pengikut-Nya menjadi satu, bukan sekadar demi kesatuan itu sendiri, tetapi supaya “dunia percaya” bahawa Bapa telah mengutuskan Anak-Nya.

 

Dalam khutbahnya, Archbishop Simon Poh merenungkan tema kesatuan dan menyeru supaya umat Tuhan haruslah bersatu merentasi sengala sempadan.

 

Inilah inti misi Gereja di Malaysia. Dalam sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian, kesatuan Gereja merentas denominasi dan budaya merupakan kesaksian nyata kuasa pendamaian Kristus.

 

Satu Kesaksian yang Hidup

Seperti perayaan-perayaan sebelumnya, satu suasana jelas dirasai oleh semua jemaah di Kuching. Hari Doa Malaysia 2025 ini bukanlah sekadar sebuah ibadah, tetapi satu panggilan untuk kesaksian yang hidup. Ini merangkumi banyak aspek-aspek:

 

  • Ia bersaksi tentang kesetiaan Tuhan sepanjang dekad sejak tahun 1963.
  • Ia bersaksi tentang panggilan Gereja untuk berdoa, bertobat, dan berdiri bagi pihak bangsa dan Negara.
  • Dan yang paling penting, ia menjadi saksi bahawa harapan Malaysia tidak terletak pada politik atau ekonomi semata-mata, tetapi pada kasih kurnia Tuhan yang dinyatakan melalui Yesus Kristus.

 

Ketika kata-kata berkat terakhir bergema (“Pergilah ke seluruh dunia dengan damai; beranilah… sokonglah yang lemah; tolonglah yang menderita; hormatilah semua orang”) Hari Doa Malaysia 2025 menjadi sekaligus peringatan dan pengutusan. Pengutusan ini mengariskan bahawa Gereja di Malaysia harus menghidupi kesatuan, kebenaran, keadilan, dan kasih demi bangsa dan Negara dan bahawa segala rahmat ke atas Malaysia adalah anugerah Tuhan. 

 

Seperti kebiasaan, perayaan ibadah ditutup dengan makan tengah hari bersama dan waktu persekutuan yang mesra.

 

Pada Hari Malaysia 2025 ini, Gereja di Malaysia berdoa sebagai satu: agar Malaysia benar-benar menjadi satu kemuliaan Tuhan, dan agar umat-Nya menjadi satu, supaya dunia ini percaya.

 

 

Christianity Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) dan Dr Sim Kui Hian atas sokongan serta bantuan murah hati mereka dalam penyediaan artikel ini. Semua foto di lokasi diambil dan disumbangkan oleh CCM dan Dr Sim. Anda boleh mengikuti siaran penuh Ibadah Hari Malaysia di https://shorturl.at/7TwqP

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*