Menemui Keheningan Suci dalam Dunia yang Sibuk – SELAH, Album Ibadah Terbaharu Tim Lim Menawarkan Saat Renungan dan Refleksi yang Mendalam

 

Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian. 

 

Dalam dunia yang serba pantas dan dipenuhi kesibukan serta kebisingan, penyanyi-penulis lagu Malaysia Tim Lim mengajak kita untuk menarik nafas, berhenti seketika, dan merenung. Setelah bekerjasama dengan Charles Pudin sebelum ini dalam penghasilan single penyembahan “Glory to You” yang meraihkan kemuliaan Tuhan, beliau kini kembali dengan album penuh bertemalan Injil dan penyembahan berjudul SELAH – sebuah karya yang merupakan hasil pengabdian peribadi dan kesedaran yang mendalam tentang keperluan menyediakan ruang untuk jiwa.

“Kami hidup dalam dunia yang bergerak pantas, dan kadangkala sangat sukar untuk mencari masa dan ruang untuk diri kami sendiri,” kongsi Tim. “Perkataan Selah adalah satu jemputan untuk ‘berhenti dan mendengar’ supaya jiwa kita dapat merenung dan menemukan semula kesegaran.”

 

Dalam dunia yang serba pantas, dipenuhi kesibukan dan kebisingan, penyanyi-penulis lagu Malaysia Tim Lim mengajak kita melalui album terbarunya, SELAH, untuk menarik nafas, berhenti sejenak, dan merenung.

 

Hati Di Sebalik SELAH

Berbeza dengan EP dan albumnya yang terdahulu, SELAH menandakan perubahan yang tersendiri dalam perjalanan muzik Tim. Tujuh lagu dalam album ini – Glory to You, Diving Deeper, Not Ashamed, Come Thou Fount, Lost in Love (instrumental), Amazing, dan Endless Light – adalah lagu penyembahan yang dilahirkan bukan sekadar untuk permentasan, tetapi dari detik-detik sunyi refleksi rohani.

“Konsep album ini adalah lagu-lagu penyembahan yang saya tulis daripada ruang penyerahan diri secara peribadi,” jelasnya. “Ia berbeza daripada EP dan album yang saya keluarkan selama ini, dan saya rasa saya perlu membuat album ini, kerana lagu-lagu sedemikian yang telah memberi inspirasi dan membentuk kehidupan rohani saya hingga menjadi siapa saya hari ini.”

Walaupun projek itu mengambil hala tuju yang lebih tertumpu kepada Injil dan ibadat daripada gaya penyanyi-penulis lagu yang merupakan kebiasaan beliau, Tim jelas bahawa segala ini bukan tentang dirinya. “Lagu-lagu ini bukan tentang saya tetapi tentang Dia yang telah memberi kita kehidupan, dan peluang untuk melakukan apa yang saya kasihi.”

 

Estetika SELAH yang ringkas dan minimalis mencerminkan identitinya sebagai himpunan lagu-lagu penyembahan yang lahir bukan untuk sorotan pentas, tetapi daripada detik-detik sunyi renungan rohani.

 

 

Pencetus dan Perjuangan

Idea untuk SELAH telah lama berputik, selama bertahun-tahun, berkembang secara senyap-senyap dalam arkib lagu-lagu penyembahan Tim yang belum diterbitkan.

“Idea untuk membuat album penyembahan sentiasa berlegar di fikiran saya, malah sejak saya mula menulis lagu penyembahan selama ini untuk diri saya, gereja dan orang lain. Selama bertahun-tahun, idea ini kenampakan mula mendapat momentum… hinggalah tahun lepas, selepas meneliti arkib saya, saya rasa saya sudah ada ‘cukup’ lagu untuk menjayakannya – maka di sini lahirlah album SELAH ini.”

Tajuk album ini sendiri datang sebagai satu pencerahan yang hadir tepat pada masanya. “Menariknya, saya sebenarnya mempunyai nama alternatif lain untuk album ini… Saya berada di satu acara dan entah bagaimana saya merasakan bahawa Tuhan memimpin saya untuk memilih nama Selah. Saya tidak akan melupakan detik ‘aha’ itu.”

Beberapa hari selepas acara itu, dalam perbualan dengan beberapa rakannya, Tim meminta pandangan mereka mengenai nama-nama itu, dan mereka semua merasakan bahawa Selah lebih menyerlah menonjol kerana maknanya yang mendalam. Perkataan ini sering muncul dalam Mazmur, dan membawa maksud jemputan untuk “berhenti sejenak dan merenung” – satu peralihan nada yang lebih tenang, baik dalam konteks dunia hari ini atau berbanding suasana ceria lagu-lagu Tim sebelum ini. Tema keheningan dan refleksi ini bukan sahaja membimbing mesej, tetapi juga keseluruhan penghasilan album tersebut.

“Semenjak kecil, saya sentiasa tertarik dengan perkataan SELAH, terutamanya apabila membaca kitab Mazmur. Melalui penyelidikan dan pembelajaran, saya mendapati bahawa ia seperti satu jeda untuk renungan.

“Kita hidup dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, dan kadangkala amat sukar untuk mencari masa dan ruang untuk Tuhan, malah untuk diri kita sendiri,” renung Tim. “Saya rasa mesej dan mood album ini adalah satu jemputan untuk ‘berhenti dan mendengar’, supaya jiwa kita dapat merenung dan menemukan semula kesegaran.”

 

Dalam zaman yang penuh dengan kesibukan dan kebisingan, album baharu Tim Lim adalah satu jemputan untuk “berhenti dan mendengar” agar jiwa kita dapat merenung dan menemukan ruang untuk diperbaharui (rujukan imej: freepik, amandabennettart – gambar digunakan semata-mata untuk tujuan ilustrasi)

 

Daripada Pengabdian kepada Penghasilan

Penghasilan SELAH merupakan satu cabaran secara kreatif dan rohani bagi Tim Lim. Beliau mengambil langkah berani untuk menghasilkan beberapa lagu sendiri – dari instrumentasi ke susunan muzik – sambil belajar sepanjang proses itu.

“Saya mahu mencabar diri saya dalam bidang ini… Saya sangat diberkati dengan nasihat daripada ramai pihak, termasuk David Gary, yang membimbing saya dalam penghasilan lagu serta dalam proses akhir adunan dan mastering.”

Lebih daripada sekadar eksperimen muzik, SELAH menjadi cermin rohani bagi Tim. “Ia turut mencabar saya untuk ‘menghidupi’ konsep album ini… ia sangat mudah untuk kita hanyut dalam kesibukan hidup dan pelayanan. SELAH mengingatkan saya untuk kembali kepada Tuhan, untuk berehat dan diam supaya saya benar-benar mengenal bahawa Dia adalah Tuhan.”

 

Nada Yang Dikenali Namun Segar

Dari segi muzik, SELAH menandakan satu perubahan daripada gaya kebiasaan Tim.

“SELAH berbeza daripada karya-karya yang sebelum ini kerana lagu-lagu dahulu lebih berunsur singer-songwriter dan ‘mesra radio’. Album ini lebih cenderung kepada genre Injil dan ibadah.”

Tim mengakui bahawa dia pernah bergelut dengan keraguan pada mulanya. “Memandangkan saya juga mempunyai pendengar yang bukan Kristian, saya tertanya-tanya diri sama ada ini adalah “projek” yang tepat untuk saya mulakan. Saya bimbang  ia akan kelihatan janggal di tengah-tengah karya-karya saya yang lain.”

Nmaun, apabila Tim merenung kepada artis antarabangsa yang berjaya merentasi kedua-dua dunia muzik Kristian kontemporari dan arus perdana, seperti Tori Kelly, Carrie Underwood, Brian Littrell (daripada Backstreet Boys), Michael W.Smith, ia memberi inspirasi kepada Tim untuk teruskan sahaja, lebih-lebih lagi kerana dia pernah menulis banyak lagu ibadah sebelum ini. SELAH mempunyai makna yang istimewa untuk Tim kerana ia juga merupakan peringatan kepadanya bahawa melalui penyembahan dan muzik Injil yang memberi inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang pemuzik dan membentuk siapa dirinya hari ini, “maka ia terasa begitu bermakna bagi saya.”

Penyertaan satu karya instrumental, Lost in Love, turut menunjukkan kesediaan Tim untuk meneroka sisi kreatif yang baru. “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat semakin ramai orang yang menggemari muzik instrumental atau lo-fi, jadi saya terfikir untuk meneroka idea itu dan menyertakannya dalam SELAH.”

 

Banyak lagu dalam SELAH berasal dari musim-musim terdahulu yang amat peribadi dan penuh makna dalam kehidupan Tim.

 

Lagu Lama, Nafas Baru

Satu aspek yang menarik dalam SELAH ialah banyak lagu dalam album ini menjejaki asal-usulnya daripada musim-musim awal dalam kehidupan Tim. Diving Deeper, misalnya, dilahirkan pada tahun 2012 semasa pengajian teologinya. Mesej lagunya mudah – menyelami lebih dalam dalam perjalanan iman kita bersama Tuhan, melalui penyerahan diri dan perenungan Firman.

“Saya merakam lagu ini pada tahun 2014 bersama seorang rakan dan ia merupakan sebahagian daripada EP dalam talian saya pada masa itu, yang kemudiannya dinamakan semula kepada MAKE ME FEEL EP. Saya juga pernah nyanyikan lagu ini di gereja beberapa kali, dan pada satu minggu, juruteknik bunyi Wai Yee merakamkan persembahan itu dan memberikannya kepada saya. Jadi ya, rakaman langsung ini telah tersimpan dalam arkib saya selama bertahun-tahun, menunggu masa dan kesempatan yang tepat untuk dikeluarkan.

Sementara itu, Not Ashamed, berdasarkan Roma 1:16, juga ‘berehat’ dalam arkib Tim selama lebih sedekad sebelum beliau menyentuh semula lagu ini tahun lepas.

“Ia salah satu lagu yang tersimpan lama kerana saya kurang yakin dengan melodi asalnya… Saya cukup berbangga dengan lagu ini kerana saya melakukan kebanyakan kerja karyanya dengan sendiri – dari muzik, susunan, hinggalah kepada penghasilan.” Seperti lagu Glory to You hasil kolaborasi Tim bersama Charles Pudin tahun lepas, lagu ini juga merupakan satu pengisytiharan berani dan penuh keyakinan akan mesej Injil serta kemuliaan dan kuasa Tuhan yang membawa penyelamatan kepada setiap orang yang percaya.

Satu lagu yang menonjol dalam album ini, Lost in Love, adalah versi instrumental yang direka semula bagi lagu pertama yang pernah dirakamkan oleh Tim.

“Lagu ini lahir daripada masa tenang saya bersama dengan Tuhan… selepas bertahun-tahun, saya terfikir dalam hati, mengapa tidak memberikan putaran baru kepada lagu ini untuk SELAH? Ia adalah peringatan tentang rahmat dan kesetiaan Tuhan yang luar biasa dalam hidup saya.”

 

Sebagai golongan pekerja dewasa, ramai antara kita menghadapi keletihan dalam dunia yang semakin penuh dengan tekanan. Tim berharap SELAH bukan sekadar satu lagi album dalam senarai main, tetapi satu jemputan untuk berhenti sejenak — untuk menemukan semula momen hubungan yang tulus, sesuatu yang telah lama hilang dari banyak kehidupan kita (rujukan imej: highlysensitiverefuge.com – gambar digunakan semata-mata untuk tujuan ilustrasi)

 

Jemputan Untuk Berehat dan Merenung

Tim berharap agar SELAH bukan sekadar satu lagi album dalam senarai main seseorang – tetapi menjadi satu momen perhubungan yang mendalam.

“Saya berharap dan berdoa agar para kreatif Kristian tempatan akan bangkit dan menjadi terang bagi Tuhan… Pada masa yang sama, saya juga berharap dan berdoa agar ibadat tempatan akan terus berkembang, di mana gereja-gereja akan menyanyikan lebih banyak lagu ciptaan tempatan dan semakin ramai penulis lagu penyembahan menghasilkan lagu-lagu yang menangkap isi hati gereja dan bangsa kita.”

Kepada sesiapa yang mungkin menemui album ini dalam musim keletihan rohani, Tim menitipkan harapan yang tulus ini: “Doa saya ialah tidak kira siapa anda, anda akan mendapati lagu-lagu ini adalah rahmat kepada jiwa anda.”

 

Sebagai bakat tempatan, salah satu harapan dan doa Tim adalah agar para kreatif Kristian tempatan dapat bersinar dan menjadi cahaya bagi Tuhan, serta agar penyembahan tempatan terus berkembang, di mana gereja-gereja akan menyanyikan lebih banyak lagu tempatan dan juga, lebih ramai penulis lagu penyembahan menghasilkan lagu-lagu yang menangkap isi hati gereja dan bangsa tempatan.

 

Bergetar Dalam Sanubari Pendengar

Tim sendiri telah menerima banyak dorongan daripada sambutan terhadap lagu-lagunya – dan lagu-lagu dalam album baharu SELAH telah pun mula menyentuh hatinya. Salah satu mesej daripada seorang pendengar sangat menonjol untuknya:

 

“Ia memberi saya getaran Planetshakers, terutamanya Glory to You dan Endless Light… Saya benar-benar percaya awak seorang komposer yang hebat, lebih-lebih lagi untuk karya yang lebih perlahan… Saya menambahkan Lost in Love pada senarai main muzik latihan saya. Ia adalah karya instrumental yang sangat indah untuk sesi latihan. Kerja yang bagus, saudara.”

 

Detik seperti inilah yang mengesahkan kesan yang Tim harapkan melalui SELAH – satu jeda suci yang membawa hati kembali kepada Tuhan.

 

 

Dengarkan SELAH:

🎧 Spotify
🎵 Platform Lain

 

Mengenai Tim Lim

Tim Lim ialah seorang penyanyi-penulis lagu dari Malaysia yang dikenali melalui muziknya yang tulus dan memberi inspirasi, mencerminkan pengalaman hidup serta kepercayaannya. Diskografinya merangkumi beberapa album, EP, dan single yang menampilkan kepelbagaian gaya serta komitmennya terhadap seni muzik. Karya-karyanya sering mengangkat tema inspirasi, iman, dan pertumbuhan peribadi, menjadikannya sosok yang menonjol dalam arena muzik independen Malaysia.

Tim Lim juga aktif berinteraksi dengan para peminat melalui pelbagai platform media sosial, berkongsi pandangan tentang muzik dan kehidupannya.

Christianity Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tim Lim atas kesudian beliau berkongsi kisah hidupnya dan atas layanan mesra beliau sepanjang penghasilan artikel ini. Semoga kesaksian dan albumnya menjadi berkat dan dorongan kepada setiap pembaca. Semua foto Tim Lim telah disediakan dengan izin oleh beliau.

 

Ikuti Tim di: https://linktr.ee/timlim12

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*