Kristus Saja Sudah Mencukupi: Menemukan Sauh Hidup dalam Dunia yang Sentiasa Berubah – Diilhamkan oleh Khutbah Ps Andy Loh di SIB KL

 

Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian. 

 

Dalam kehidupan moden ini, kegelisahan adalah sesuatu yang hampir semua orang rasai pada tahap tertentu. Kehidupan bergerak dengan pantas, dan dengan segala kebisingan serta tekanan di sekeliling kita, mudah untuk kita berasa hilang arah atau tidak pasti tentang perkara yang benar-benar penting. Banyak perkara yang dulunya menjadi sandaran seperti iman, kekeluargaan atau tujuan hidup yang jelas tidak lagi memberi kita jaminan seperti dahulu. Kita membaca banyak kes bunuh diri dalam akhbar.

Semakin ramai orang mencari makna, berharap untuk mencari sesuatu yang nyata untuk dipegang dalam dunia yang sering terasa seperti hanyut, hilang tanpa sauh. Pada bulan Mei lalu, Pr Andy Loh telah berkongsi khutbah yang penuh kuasa dan pengharapan, meninjau secara mendalam krisis zaman ini. Khutbah beliau berpandukan surat yang ditulis oleh rasul Paulus kepada gereja di Kolose.

 

Ps Andy Loh dari Life Community Centre menyampaikan khutbahnya di SIB KL.

 

Dalam dunia yang sentiasa berubah – antara perasaan, falsafah, ritual, dan aliran semasa – satu kebenaran tetap teguh dan tidak tergoyahkan: Kristus sudah mencukupi. Inilah inti utama dalam surat Paulus kepada jemaat di Kolose, dan mesej ini kekal relevan sehingga hari ini. Orang Kolose hidup di sebuah kota perdagangan yang sibuk – tempat penemuan pelbagai idea budaya, pengaruh rohani, dan amalan keagamaan yang bersaing. Dalam suasana kepercayaan yang bersifat campur-aduk, di mana Kristus hanya dilihat sebagai satu pilihan antara banyak, Paulus memanggil gereja kembali kepada kecukupan Kristus semata-mata.

Mesej Pualus masih berbicara dengan kuat dalam konteks moden kita, di mana ramai tergoda untuk mengejar identiti dalam emosi mereka, kebenaran melalui peraturan agama, atau kerohanian melalui pengalaman mistik. Namun amaran Paulus adalah tajam dan membebaskan: Jangan tertipu. Kristus adalah realiti. Segala yang lain hanyalah bayangan.

 

Pertempuran Ideoloji di Kolose – dan Hari Ini

Orang-orang percaya Kolose sedang dipengaruhi oleh ajaran-ajaran palsu yang mencampurkan legalisme, mistikisme, dan asketisme. Idea-idea berbahaya ini mengancam untuk mengalihkan pandangan mereka daripada Yesus. Paulus berbicara secara langsung kepada mereka, memperingatkan agar mereka tidak dihakimi berdasarkan apa yang harus dimakan atau diminum, perayaan yang mana yang harus dirayakan, atau cara bertingkah laku secara lahiriah. Segala ini adalah peraturan buatan manusia yang menyamar sebagai kerohanian. Namun semua itu gagal menangkap inti sebenar Injil.

 

Paulus menulis surat Kolose kepada sebuah gereja yang terperangkap dalam legalisme, mistisisme, dan asketisme – isu yang masih relevan hingga ke hari ini. Dalam surat itu, Paulus menyampaikan dan menegaskan tentang kecukupan dan keunggulan Kristus.

 

Legalisme – cubaan untuk mendapatkan perkenan Tuhan melalui pematuhan peraturan – tidak pernah menjadi jalan kepada keselamatan. Paulus mengingatkan jemaat Kolose, dan mengingatkan kita hari ini, bahawa kebenaran sejati tidak datang dari usaha manusia tetapi lahir dari hubungan peribadi yang mengubah hidup bersama Kristus.

Begitu juga dengan mistikisme yang telah mula berakar – terdapat obsesi dengan pengalaman rohani, penglihatan, dan penyembahan malaikat. Amalan mistik ini mungkin kelihatan rohani di luar, tetapi ia mengalihkan perhatian orang percaya daripada kerja Kristus yang telah selesai. Paulus menjelaskan dengan tegas: penyembahan bukan tentang mengejar keghairahan emosi atau penanda-penanda ajaib. Ia adalah tentang menghormati Tuhan kerana siapa Dia, bukan berdasarkan perasaan kita pada masa tertentu.

Paulus juga mendedahkan kekosongan asketisme – kepercayaan bahawa perlakuan kasar terhadap tubuh, penyangkalan diri, atau pengasingan dari dunia akan menjadikan seseorang lebih suci. Amalan-amalan ini tidak mampu melakukan apa-apa untuk mengubah hati. Malah, ia sering menimbulkan keangkuhan rohani. Iman bukan tentang apa yang kita lakukan untuk Tuhan, tetapi apa yang telah dilakukan-Nya untuk kita melalui Kristus.

 

Gema Moden Kesilapan Purba

Amaran-amaran ini mungkin kelihatan kuno, tetapi ia bergema dengan jelas dalam budaya kita hari ini. Ramai orang kini mendasarkan identiti dan keputusan mereka sepenuhnya pada perasaan. Dalam khutbahnya, Pr Andy memberi amaran tentang kecenderungan yang semakin berkembang ini, dan menjelaskan betapa tidak stabilnya emosi yang sering tidak menentu – tenang pada satu hari, namun mudah tergoncang oleh konflik atau kemurungan pada hari berikutnya. Dalam keadaan sebegini, amat berbahaya untuk kita menjalani hidup hanya berpandukan perasaan peribadi semata-mata.

 

Dalam dunia hari ini yang dipenuhi dengan mesej yang menekankan imej diri dan penampilan luaran, bahkan orang yang berniat baik sekalipun boleh terperangkap dalam cara berfikir yang mengutamakan rupa luaran berbanding hakikat sebenar.

 

Masyarakat kini sering meraikan kenyataan seperti “buat apa yang difikirkan betul,” walaupun pilihan tersebut menafikan realiti asas. Identiti menjadi sesuatu yang tidak mempunyai sauh, ditentukan oleh persepsi dalaman dan bukannya kebenaran. Namun, seperti yang diingatkan oleh pengkhutbah, identiti kita bukanlah sesuatu yang kita bina sendiri – ia sesuatu yang kita terima daripada Pencipta kita. Kita dijadikan menurut imej Tuhan, ditebus oleh Kristus, dan asas hidup kita tidak berdasarkan pada apa yang kita rasai, tetapi pada siapa Tuhan katakan kita ini.

Mistisisme juga telah mengambil bentuk baharu – melalui horoskop, budaya manifestasi, ramalan nasib dan kandungan rohani merentas platform seperti TikTok. Amalan-amalan ini menggalakkan orang ramai untuk mengejar tanda-tanda, gerak hati, atau “alam semesta” untuk mencari petunjuk. Tetapi amalan sedemikian menggantikan suara Tuhan dengan imaginasi manusia dan bercanggah dengan firman Tuhan. Amaran Paulus masih relevan: jangan biarkan apa-apa pun mengatasi atau mengantikan Kristus.

 

Kejar Tuhan, Bukan Bayangan

Dalam usaha kita untuk mengejar pertumbuhan rohani, kita mesti berhati-hati agar tidak melupakan Kristus. Alkitab bukan sekadar catatan masa lalu. Ia hidup, aktif, dan mencukupi. Mengapa mengejar bayang-bayang sedangkan anda boleh duduk di kaki Pencipta kita? Tuhan telah berfirman. Roh-Nya menegur, mengajar, dan membimbing. Penyembahan yang sejati mengalir dari kebenaran dan perubahan yang sejati berlaku bukan melalui emosi atau usaha, tetapi melalui tinggal tetap di dalam Kristus.

 

Yesus memanggil kita untuk tinggal tetap di dalam-Nya.

 

Paulus menulis dalam Kolose 2:19 bahawa orang percaya bertumbuh apabila mereka kekal bersatu dengan Kristus, Kepala Jemaat. Dialah yang memberi kita kehidupan dan kekuatan. Seperti yang Yesus katakan dalam Yohanes 15:4, “Tinggallah di dalam Aku… Sama seperti ranting tidak dapat berbuah dari dirinya sendiri, kalau ia tidak tinggal pada pokok anggur, demikian juga kamu tidak berbuah, jikalau kamu tidak tinggal di dalam Aku.” Disiplin rohani – doa, puasa, pembacaan Alkitab – adalah penting, tetapi ia bukanlah senarai semak untuk mendapatkan perkenan Tuhan. Ia adalah saluran untuk kita mengenali Kristus dengan lebih mendalam. Kita mesti tinggal tetap dalam Kristus.

 

Kasih Kurnia, Bukan Prestasi

Mesej injil sangat berbeza dengan setiap agama yang mengajar usaha manusia sebagai jalan untuk mendekati yang ilahi. Agama adalah pencarian manusia kepada Tuhan. Injil adalah pencarian Tuhan terhadap manusia. Di mana agama menuntut prestasi, Injil menawarkan kasih kurnia.

Seperti yang Paulus nyatakan dalam Kolose 2:9–10, “Kerana dalam Kristus berdiam secara jasmani seluruh kepenuhan Keilahian, dan dalam Kristus kamu telah dikurniakan kepenuhan.” Ini bukan sekadar harapan masa depan. Ia adalah realiti masa kini. Kehidupan yang melimpah bermula sekarang apabila kita berkata, “Ya, Yesus.”

 

Mesej dalam Kolose 2:9–10 menggambarkan kebenaran yang sama yang dipercayai dan diajarkan oleh para rasul zaman awal – bahawa Yesus adalah sepenuhnya Tuhan, dan bahawa orang percaya telah dipenuhi dan disempurnakan di dalam-Nya.

 

Legalisme berkata, “Lakukan lebih banyak untuk mendapatkan cinta Tuhan.” Injil berkata, “Sudah selesai.” Mistisisme berkata, “Cari pengalaman rahsia.” Injil berkata, “Kristus telah dinyatakan kepada semua orang.” Asketisme berkata, “Sakitilah dirimu untuk menjadi suci.” Injil berkata, “Kristus telah dilukai demi kesembuhanmu.” Mesej dalam Kolose 2:9–10 ini mencerminkan kebenaran yang sama seperti yang dipercayai dan diajarkan oleh para rasul zaman awal – bahawa Yesus adalah sepenuhnya Tuhan, dan bahawa orang-orang percaya telah disempurnakan di dalam Dia.

 

Kebebasan dalam Kristus

Mesej Paulus bukan hanya sekadar untuk menolak idea-idea palsu – ia megajak kita untuk menerima kebebasan. “Kristus telah membebaskan kita supaya kita benar-benar merdeka. Oleh itu, berdirilah teguh dan jangan biarkan diri kamu dikenakan belenggu perhambaan sekali lagi” (Galatia 5:1).

Begitu ramai yang masih hidup dalam rantaian – rantaian rasa bersalah, usaha yang tidak putus-putus, ketakutan, atau perbandingan diri. Mereka mengejar persetujuan orang atau bersandar pada amalan agama yang tidak mampu memberikan keselamatan. Tetapi Kristus menawarkan sesuatu yang lebih baik: pengampunan lengkap, identiti yang teguh, harapan yang kekal. Kolose 2:17 mengatakan bahawa semua peraturan dan ritual ini adalah “bayangan perkara yang akan datang; hakikatnya ialah Kristus.”

 

 

Datanglah kepada Kristus – Realiti yang Hidup

Seruan dalam surat Paulus – dan inti hati Injil – adalah sederhana tetapi radikal: Datanglah kepada Kristus. Dia bukan bayangan yang jauh, tetapi realiti yang hidup. Segala sesuatu yang Tuhan tawarkan – identiti, kedamaian, kemenangan, keselamatan – ditemui hanya di dalam Kristus. Kristus saja sudah mencukupi.

Kita tidak diselamatkan dengan melakukan lebih banyak tetapi dengan berehat dalam apa yang telah Yesus lakukan. Kita tidak berubah dengan mengejar perasaan, tetapi dengan berdiri di atas kebenaran yang tidak berubah. Kita tidak diterima kerana kita sempurna, tetapi kerana Dia sempurna. Dalam Kristus, kita sudah cukup – kini dan selama-lamanya. Kita boleh melepaskan tekanan untuk berprestasi, keperluan untuk “merasai sesuatu”, atau desakan untuk membuktikan diri. Yesus mengajak kita untuk berpaut kepada-Nya, membaca firman-Nya dan berjalan bersama-Nya setiap hari. Sembahlah Dia dengan sepenuh hati anda – bukan untuk memperoleh rahmat, tetapi kerana rahmat itu sudah diberikan.

Biarkan mesej Paulus yang abadi menambat anda dan menjadi sauh hidupmu: Kristus adalah segala-galanya. Kristus saja sudah mencukupi. Dialah kehidupanmu. Kekallah berakar di dalam Dia. Segala yang anda perlukan sudah ada dalam Kristus.

 

“Oleh sebab kamu telah dibangkitkan bersama Kristus, carilah perkara yang di atas… Kerana kamu telah mati, dan hidup kamu kini tersembunyi bersama Kristus dalam Tuhan.” – Kolose 3:1,3

 

Artikel ini diterjemahkan dari Christ Alone Is Enough: How to Find Your Anchor in a Constantly Shifting World – As Inspired by a Sermon Shared by Pr Andy Loh at SIB KL Ia ditujukan kepada orang Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia.

Artikel asal diterbitkan pada bulan Mei 2025, namun baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita-berita yang sangat menyayat hati yang menunjukkan betapa tragisnya kehidupan yang kehilangan sauh dan harapan. Semoga artikel ini menjadi satu pedoman dan dorongan buat umat Kristian di negara kita.

 

|Kongsilah Berita Baik|

  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*