Nota: Ini adalah sebuah artikel Kristian
Dalam masa seminggu, kita akan menyambut Hari Malaysia, satu hari yang menekankan identiti bersama kita sebagai rakyat Malaysia. Kewarganegaraan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita kerana ia menentukan tanggungjawab, hak, dan kepentingan kita, bukan sahaja dalam komuniti kita tetapi juga sebagai sebahagian daripada struktur negara yang lebih luas.
Bagi orang Kristian, konsep kewarganegaraan boleh menjadi suatu perkara yang rumit kerana kita mempunyai kewarganegaraan berganda — duniawi dan rohani — yang saling berkait rapat.
Dalam Yohanes 15:18-27, Yesus memberitahu murid-murid-Nya suatu yang penuh dengan makna, bahawa jika dunia membenci mereka sebagai pengikut Kristus, mereka harus tahu bahawa dunia telah membenci Tuhan sebelum mereka dibenci. Jika mereka berasal dari dunia, dunia akan mengasihi mereka, tetapi mereka telah dipilih oleh Kristus untuk menjadi milik-Nya, oleh itu mereka dibenci oleh dunia.
Secara ringkasnya, jika dunia menganiaya Kristus kerana siapa Dia, dunia juga akan menganiaya murid-murid-Nya kerana mereka milik-Nya. Namun, jika murid-murid taat kepada-Nya, dan jika dunia taat kepada firman-Nya, dunia juga akan mengikuti ajaran murid-murid-Nya. Semua ini akan dilakukan oleh dunia kerana mereka tidak mengenal-Nya.
Intipati Petikan Ini
Intipati petikan ini adalah bahawa hamba tidak lebih besar daripada Tuhannya. Apa yang Tuhan lalui, murid-murid-Nya juga djangka untuk lalui, bukan kerana paksaan-Nya, tetapi kerana sifat dunia ini. Oleh itu, ada petunjuk bahawa murid-murid Yesus dipisahkan untuk dan oleh Tuhan. Ini juga terpakai kepada orang Kristian hari ini.
Namun, sebagai warganegara di dalam negara kita sendiri, realiti praktikalnya ialah kita perlu berfungsi dalam negara duniawi kita. Lagipun, kita perlu bekerja untuk mencari nafkah, membeli makanan dan keperluan, agar kita dapat berlindung dan memberi makan keluarga serta diri kita sendiri untuk terus hidup. Dan untuk ini, kita memerlukan hak-hak tertentu sebagai warganegara negara kita.
Ini menimbulkan masalah ketegangan atau dikotomi. Kita adalah warganegara Kerajaan Tuhan yang terutama, dengan Tuhan sebagai penguasa tertinggi, namun kita juga warganegara negara masing-masing dengan kewajiban kesetiaan kepada negara dan pemimpin duniawi. Bagaimana kita mendamaikan hal ini? Apakah cara pandang Alkitab tentang kewarganegaraan?
Definisi Kewarganegaraan
Pertama sekali, terdapat perbezaan antara seorang warganegara dan seorang subjek. Walaupun subjek adalah orang yang berada di bawah kekuasaan seorang raja, warganegara adalah ahli negara dengan hak-hak yang berkaitan. Kewarganegaraan sering difahami dalam konteks orang awam. Sama ada seseorang itu bertugas seperti polis, tentera, atau doktor, mereka tetap mempunyai fungsi awam di luar tugas mereka.
Kata “civil” berasal dari bahasa Inggeris Pertengahan yang dipinjam dari perkataan Latin “civilis,” yang bermaksud warganegara. Dari konsep ini, wujud idea peradaban yang diasaskan pada rakyat. Pada masa yang sama, satu lagi perkataan Inggeris Pertengahan “civilian” yang berasal dari perkataan Perancis Lama “civilien,” dibentuk, bermaksud penduduk kota atau pelajar undang-undang sivil.
Apabila bandar-bandar berkembang dan orang mula mengembara ke seluruh dunia, perkataan “cosmopolitan” terbentuk untuk menggambarkan fenomena ini (Kosmos + Polity: warganegara dunia). Jadi walaupun di bidang sekular, kita dapat melihat bahawa terdapat pelbagai tahap kewarganegaraan atau kependudukan yang telah berkembang selama bertahun-tahun, dari bandar ke daerah, ke negeri, ke negara, dan kini, bahkan ke dunia.
Pemerintahan Sekular
Selain daripada konsep kewarganegaraan awam, terdapat pelbagai jenis pendekatan kerajaan sepanjang sejarah. Pertama, ada monarki (mono: kuasa berpusat pada satu). Seterusnya, ada oligarki (oligarch: kuasa berpusat pada beberapa orang). Kemudian, kita mempunyai demokrasi (demos + kratos: kuasa rakyat).
Demokrasi bukanlah idea baru. Ia diasaskan di bandar-bandar Yunani, tetapi konsep demokrasi mereka tidak sama seperti yang kita fahami hari ini. Bagi orang Yunani, demokrasi atau rakyat hanya merujuk kepada golongan elit, kerana kebanyakan penduduk di bandar-bandar mereka adalah hamba yang tidak mempunyai hak.
Hari ini, kita memahami demokrasi sebagai kuasa ramai. Di negara demokrasi berparlimen, ahli parlimen dipilih sebagai wakil rakyat, dengan tanggungjawab kepada rakyat. Ini adalah pemahaman umum kita tentang maksud demokrasi. Malaysia, sebagai bekas negara Komanwel, mempunyai sistem Monarki Berperlembagaan. Takhta dipegang oleh seorang raja (Agung) tetapi pemerintahan dijalankan melalui parlimen. Ini mewujudkan senario yang menarik dan luar biasa.
Pemahaman Ibrani Awal Tentang Kenegaraan
Berbeza dengan apa yang dipercayai oleh sesetengah orang Kristian bahawa “kita warganegara syurga dan tidak perlu peduli dengan dunia ini,” Alkitab sebenarnya banyak berbicara mengenai kewarganegaraan. Dalam Hakim-hakim 9:3, rakyat Sikhem memilih Abimelek kerana mereka mengenalnya sebagai salah seorang dari mereka. Di sini kita dapat melihat bahawa kewarganegaraan ditakrifkan sebagai sekumpulan orang dengan hubungan tertentu (kepunyaan antara satu sama lain).
Dalam Keluaran 19, Tuhan telah menetapkan identiti bangsa Ibrani awal sebagai bangsa yang kudus, dikhususkan kepada Tuhan. Mereka sepatutnya menjadi sinar kepada dunia sebagai pengikut Yahweh; Umat Tuhan.
Dalam Ulangan 17:14-20, Tuhan telah meramalkan permintaan bangsa Ibrani untuk seorang raja di masa depan dan memberikan garis panduan tentang jenis raja yang harus mereka lantik. Raja itu harus berasal daripada bangsa mereka sendiri (konsep kerajaan). Dia harus bertindak sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab kepada Tuhan dan umat-Nya, dan tidak boleh mengambil banyak isteri atau mengumpul perak atau emas untuk dirinya sendiri (ayat 17).
Semasa dan sepanjang pelantikan rajaannya, dia harus membuat dirinya bertanggungjawab kepada para imam Lewi (pemimpin rohani kerajaan), takut akan Tuhan, mematuhi dengan teliti semua undang-undang dan perintah-Nya dan tidak menyimpang daripadanya ke kiri atau kanan. Dengan cara ini, raja dan anak-anaknya akan terus memerintah lama di dalam kerajaan itu.
Bagi bangsa Ibrani pada zaman awal, negara mereka diasaskan kepada Tuhan dengan Dia sebagai penguasa tertinggi, dan bahkan raja harus bertanggungjawab kepada-Nya. Ketika bangsa Ibrani mendesak untuk seorang raja dalam 1 Samuel, Tuhan memberikan peringatan yang sama dan amaran tentang akibatnya (1 Samuel 8).
Mazmur 72, sebuah doa dari Raja Daud, adalah gambaran lengkap tentang bagaimana seorang pemimpin di bawah Tuhan seharusnya. Dia menghakimi umatnya dengan keadilan, mempertahankan orang yang teraniaya, menyelamatkan anak-anak yang memerlukan, mengasihani yang lemah, dan menyelamatkan mereka daripada penindasan dan kekerasan kerana mereka berharga di matanya. Sepanjang keseluruhan mazmur, terdapat pengiktirafan bahawa keadilan datang daripada Tuhan (ayat 1).
Sebagai umat Tuhan, bangsa Ibrani awal harus berpaling kepada Tuhan dan bukan kepada raja-raja. Mereka menyedari bahawa hanya melalui kehendak Tuhan dan bukan melalui kekuatan mereka sendiri, mereka akan berjaya mengatasi cabaran. Dua tema utama dalam Perjanjian Lama ialah keadilan Tuhan dan shalom-Nya (sebuah konsep yang seakan konsep “muhibbah” kita).
Apabila bangsa Ibrani menyimpang dari Tuhan, seperti pada zaman Nabi-nabi Kecil seperti Amos dan Hosea dan ketika mereka menzalimi golongan yang tidak berdaya, hukuman akan datang. Apabila bangsa itu bertobat, Tuhan akan memulihkan mereka dan membawa shalom-Nya kepada mereka, bahkan melalui seorang raja asing yang tercerahkan seperti Koresy.
Sahabat Daniel menyedari hal ini di Babilon ketika mereka menguduskan diri mereka di dalam perapian yang menyala. Bagi mereka, jalan keluar adalah jalan masuk. Mereka dibentuk oleh kehadiran Tuhan yang bersama mereka bahkan dalam perapian yang menyala.
Kewarganegaraan dalam Perjanjian Baru
Menjelang zaman Perjanjian Baru dan rasul Paulus, konsep kewarganegaraan di bumi telah berkembang sepenuhnya. Di antara beberapa peristiwa yang mempengaruhinya ialah empayar pan-Hellenistik Alexander Agung (dikenali secara umum sebagai Alexander the Great). Pada zaman Rom yang mengikutinya, satu idea undang-undang telah dikembangkan berdasarkan idea rasional.
Dalam Kisah Para Rasul 16:16-40 dan Kisah Para Rasul 22:22-29, kita membaca tentang penahanan Paulus akibat tuduhan palsu. Cara Paulus menangani situasi tersebut mengajar kita banyak perkara. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah Paulus sedar bahawa dia mempunyai hak-hak tertentu yang kuat sebagai warganegara kelahiran Rom.
Paulus mempunyai kewarganegaraan Rom tetapi kewarganegaraannya juga kepada Tuhan. Paulus bekerja sebagai hamba Tuhan ketika dia dituduh secara palsu dan ditahan. Dia tidak bersalah di mata Tuhan, dan kewarganegaraannya adalah di peringkat nasional dan juga global. Ini adalah salah satu maksud kewarganegaraan Kristian. Kita berhutang kesetiaan kepada negara masing-masing, tetapi pada masa yang sama, kita juga harus hidup dengan penuh kesedaran sebagai anggota persekutuan global Tuhan, dengan Tuhan sebagai asas tertinggi untuk keadilan.
Kewarganegaraan Yang Dimiliki Orang Kristian
Apakah jenis kewarganegaraan yang harus dimiliki dan dilaksanakan oleh orang Kristian? Walaupun kita adalah warganegara negara duniawi, keutamaan bagi nilai dan pandangan kita harus diasaskan kepada firman Tuhan. Perintah yang terbesar bagi warganegara Kerajaan Tuhan adalah untuk mengasihi Tuhan dengan segenap jiwa kita, dan mengasihi sesama seperti diri sendiri.
Dalam konteks lain, ini bermakna kita mesti mengenali diri sendiri untuk mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri sendiri. Ini merujuk kepada pengenalan identiti kita, baik sebagai anak-anak Tuhan mahupun sebagai warganegara negara masing-masing. Contohnya dapat dilihat melalui cara orang Kristian awal hidup. Mereka berkongsi harta benda mereka di antara mereka supaya tiada sesiapa yang kekurangan, dan Yesus memberikan panduan melalui Sabda Bahagia.
Dalam Markus 12:17, Yesus berkata, “Berikan kepada Kaisar apa yang milik Kaisar, dan kepada Tuhan apa yang milik Tuhan.” Maksudnya, dalam Empayar Rom, Kaisar telah meletakkan dirinya sebagai kuasa ilahi dan kuasa duniawi. Terdapat peraturan dan undang-undang tertentu yang harus dipatuhi oleh orang Kristian sebagai warganegara Rom. Namun, bagi orang Kristian awal dan juga orang Kristian hari ini, Tuhan adalah Tuhan yang sejati dan Juruselamat tertinggi, baik dalam kuasa Syurga mahupun dunia.
Di sinilah kita kembali kepada kata-kata Yesus dalam Yohanes 15:18-27, seperti yang diuraikan di atas. Tidak dapat dielakkan, dunia, yang kali ini diwakili oleh Empayar Rom, akan menganiaya orang Kristian awal kerana kesetiaan mereka kepada Kristus. Namun perintah Tuhan kepada Gereja tetaplah untuk berbuat baik meskipun menghadapi penganiayaan (Titus dan 1 Petrus).
Ia sangat sukar dalam pengertian manusia, dan hanya boleh dilakukan melalui kasih kurnia Tuhan. Inilah maksud kewarganegaraan bagi orang Kristian awal. Walaupun tunduk kepada Empayar Rom, kesetiaan akhir mereka adalah kepada Tuhan, dan mereka dianiaya oleh kuasa duniawi kerana itu.
Hari ini, ramai orang Kristian tidak lagi menghadapi kesusahan dan cabaran pada tahap yang sama seperti Gereja awal. Namun perintah tersebut tetap sama untuk kita hari ini, dengan beberapa implikasi dan aplikasi tertentu.
Implikasi Praktikal
Setakat ini, kami telah melihat bahawa kewarganegaraan kita, baik di dunia mahupun di tahap rohani, sangat penting bagi Tuhan. Jadi, bagaimana kita harus mendekati kewarganegaraan kita? Apa makna praktikalnya? Pada lazimnya, kita sering memisahkan Kerajaan Tuhan dan negara kita, dan jarang kedua-duanya bertemu.
Adakah orang Kristian sepatutnya hanya fokus kepada hal-hal rohani dan jarang terlibat dalam perbincangan sosial-politik? Sebagai garam dan cahaya dunia, kita perlu berdiri untuk tujuan yang baik. Dalam Kejadian 1:27-30, Tuhan telah memberi mandat ciptaan kepada manusia untuk menjadi “rakan kongsi junior” dalam melaksanakan tugas di dunia.
Orang Kristian dipanggil bukan untuk memisahkan diri dari dunia, tetapi untuk menjadi “pencipta budaya”, membawa kebaikan kepada manusia demi kemuliaan Tuhan. Namun, kita perlu menggabungkan etika sosial dan politik dalam tanggungjawab kita sebagai orang Kristian. Adalah penting kita melibatkan diri secara aktif dalam institusi yang mempengaruhi masyarakat. Satu cara ialah kita boleh terlibat dalam pelbagai NGO atau aktiviti sosial untuk membawa kebaikan kepada negara kita.
Kita perlu mempunyai hasrat wawasan tentang kewarganegaraan kita, dengan mengambil contoh Paulus yang sedar akan hak-haknya sebagai warga Rom dan juga sebagai warga Kerajaan Tuhan. Kita juga harus menyedari hak dan tanggungjawab kita sebagai warganegara moden, terutama dalam konteks Malaysia. Sebagai orang Kristian di Malaysia, amat penting untuk kita memahami Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak kita dalam sistem demokrasi. Kita dipanggil untuk menjadi berkat kepada masyarakat, dan pada masa yang sama, kekal setia kepada Tuhan sebagai autoriti tertinggi kita.
Ini adalah sebuah artikel Kristian yang ditulis melalui lensa iman penganut Kristian dan ditujukan untuk pembaca Kristian yang lebih biasa dengan Bahasa Malaysia. Ia diterjemahkan dan mengambil intipati yang masih kekal relevan sehingga hari ini dari artikel-artikel tersebut:
1. Being Citizens: The Biblical Context
2.Christian Citizenship: The Practical Implication
|Kongsilah Berita Baik|
Leave a Reply