Iman di Ambang Baru: Melangkah ke Tahun 2026 Dengan Kepercayaan Penuh Dalam Kebaikan Tuhan

 

Nota: Ini ialah sebuah artikel Kristian. 

 

Kita datang sekali lagi kepada penghujung tahun. Bagi sesetengah orang, ia membawa ruang untuk refleksi. Bagi yang lain, ia sekadar membawa kelegaan.

Tahun 2025 bukanlah tahun yang tenang. Di dalam hati ramai, tersimpan harapan yang mendalam bahawa apabila kalendar bertukar, segalanya mungkin terasa lebih ringan. Namun begitu, sama ada kita bersedia atau tidak, 2025 tetap akan berakhir. Ada sesuatu yang manis dan pahit tentang saat ini. Ketika kita melangkah ke tahun yang baharu, ramai antara kita sedang menilai kembali apa yang telah diberikan oleh 2025 — dan juga apa yang telah dirampas daripadanya. Ada saat-saat kegembiraan, tetapi ada juga tempoh panjang yang dipenuhi ketidakpastian. Ramai antara kita masih menyimpan soalan-soalan yang belum terjawab.

Sebagai orang Kristian, kita percaya bahawa setiap detik adalah bermakna. Kita percaya bahawa kehidupan kita berada dalam pegangan Tuhan. Namun, kepercayaan itu tidak selalu menjadikan segalanya lebih mudah. Kadang-kala, ia sekadar memberi kita tempat untuk berpijak sementara kita menanti Tuhan.

 

kepercayaan itu tidak selalu menjadikan segalanya lebih mudah. Kadang-kala, ia sekadar memberi kita tempat untuk berpijak sementara kita menanti Tuhan (Ruj Imej: twimg)

 

Alkitab mengajar bahawa iman bukan sekadar kepercayaan. Itu sering kali mudah diucapkan, tetapi jauh lebih sukar untuk dihayati. Iman menuntut kepercayaan, selalunya pada saat kita lebih menginginkan kejelasan. Ibrani 11:1 menggambarkan iman sebagai “dasar dari segala sesuatu yang kita harapkan dan bukti dari segala sesuatu yang tidak kita lihat.”

Apabila kita mengimbas kembali tahun 2025, saya yakin ramai antara kita pernah melalui saat-saat di mana jalan di hadapan terasa kabur. Kita menyaksikan orang-orang yang kita kasihi menderita, dan hampir setiap hari kita membaca berita yang menyayat hati. Keputusan-keputusan penting terpaksa dibuat tanpa maklumat yang mencukupi, selalunya keputusan yang membentuk arah hidup kita serta kehidupan mereka yang bergantung kepada kita.

Ada yang menanti lebih lama daripada jangkaan untuk jawapan, untuk kesembuhan, untuk pintu yang terbuka. Ada pula yang berhadapan dengan kehilangan. Hubungan terlerai, ada yang berlaku secara mendadak dan menyakitkan. Kesihatan berubah. Keadaan kewangan semakin sempit. Tidak semua perkara ini dibicarakan secara terbuka, namun ramai memikulnya dalam diam.

Iman tidak menghapuskan realiti-realiti ini. Ia tidak menyusun atau menjelaskannya dengan kemas. Namun, iman memberi kita kekuatan untuk melaluinya tanpa menyerah sepenuhnya. Ada kalanya, iman hanyalah satu tindakan sederhana untuk mempercayai Tuhan. Pada waktu lain, ia adalah keengganan untuk menyerah kalah.

Ketika gereja masih muda, Paulus menulis tentang perjalanan iman, bahawa kita “hidup oleh iman, bukan oleh penglihatan.” Ini sering kali bermaksud melangkah ke hadapan tanpa dapat melihat apa yang seterusnya. Selalunya juga, ia bermaksud ketaatan yang kecil dan tidak disedari oleh sesiapa.

 

Ketika gereja masih muda, Paulus menulis tentang perjalanan iman, bahawa kita “hidup oleh iman, bukan oleh penglihatan.”

 

Namun, apabila kita melihat kembali dengan lebih teliti, sering kali terdapat kilasan-kilasan kesetiaan Tuhan. Ia tidak selalu bersifat dramatik. Kadang-kala, ia hadir sebagai ketenangan yang sukar difahami pada waktu itu, dan hanya menjadi jelas apabila dikenang kembali. Mungkin melalui satu mesej yang tiba pada saat yang tepat, atau kekuatan yang muncul hanya setelah segala yang lain habis.

Saya menulis semua ini juga sebagai renungan peribadi, kerana saya tahu iman bukanlah sesuatu yang mudah, dan 2025 juga bukanlah tahun yang mudah. Namun begitu, ramai antara kita sebagai orang Kristian sedang mempercayakan tahun 2026 kepada Tuhan.

Sering kali, di tengah-tengah ujian, banyak perkara hanya difahami kemudian. Di sinilah iman bertumbuh. Bukan melalui kepastian yang berterusan atau kehidupan yang bebas daripada cabaran, tetapi melalui ingatan akan bagaimana Tuhan telah menemui kita dalam musim-musim sukar dalam kehidupan masing-masing. Ketika kita melangkah ke arah 2026, hendaklah kita dikuatkan hati bahawa walaupun iman tidak selalu menjanjikan jalan yang lebih mudah, ia sentiasa memberikan arah. Tuhan memelihara kita dan membimbing laluan kita. Dalam arah itulah kita menemui harapan, dan harapan itu menjadi sauh bagi jiwa. Apabila keputusan terasa berat, iman menolong kita untuk tidak tersesat. Iman bukan sesuatu yang pasif, walaupun kadang-kala ia kelihatan begitu senyap.

 

Walaupun ada masa di mana kita merasa seolah-olah tersesat di dalam hutan, bimbingan dan kehadiran Tuhan sentiasa memberikan arah.

 

Peralihan ke tahun baharu juga mengundang kita untuk melepaskan. Ramai antara kita memikul perkara-perkara yang sebenarnya tidak perlu kita bawa lagi. Iman membolehkan kita menyerahkannya. Iman juga membentuk semula cara kita menilai kejayaan. Dunia menilai hasil yang boleh dikira dan dipamerkan. Iman mengarahkan pandangan kita kepada perkara yang lebih mendalam – kepada pembentukan karakter yang perlahan, hubungan yang diperkukuh melalui kesukaran dan sokongan sesama kita, dan mungkin juga ketabahan yang tidak pernah kita sangkakan ada dalam diri kita.

Komuniti amatlah penting, lebih daripada yang mungkin kita jangkakan. Tiada siapa yang mampu menempuh perjalanan ini dengan baik secara bersendirian. Dorongan daripada seorang sahabat, doa daripada gereja, dan sokongan daripada keluarga semuanya amat berharga. Ramai yang dipelihara melalui musim sukar oleh kasih, keprihatinan, dan sokongan daripada komuniti terdekat. Iman bertumbuh dengan paling baik apabila ia dikongsi dan dihidupi bersama.

 

Ramai yang dipelihara melalui musim sukar oleh kasih, keprihatinan, dan sokongan daripada komuniti terdekat. Iman bertumbuh dengan paling baik apabila ia dikongsi dan dihidupi bersama.

 

Secara semula jadi, masih akan ada banyak persoalan apabila kita melangkah ke tahun baharu. Ada doa yang masih belum terjawab. Ada perjuangan yang berterusan. Namun begitu, keraguan tidak menafikan iman. Sering kali, di situlah iman menjadi lebih jujur. Abraham mempercayai Tuhan tanpa mengetahui gambaran penuh. Kita juga melakukan hal yang sama — kadang-kala dengan hati yang berat, kadang-kala dengan harapan yang hampir luntur. Namun, kita tetap terus percaya.

Iman membentuk cara kita hidup ketika tiada siapa yang memerhati. Ia mengajar kesabaran apabila hasil terasa lambat, dan memanggil kita kepada keberanian apabila ketakutan menghampiri. Iman tidak menuntut kesempurnaan, tetapi kesetiaan. Ketika kita mengucapkan selamat tinggal kepada 2025, iman menjadi sauh kita. Tuhan tidak berubah dan kehadiran-Nya tidak tergugat. Tujuan-Nya tidak terancam oleh ketidakpastian musim atau golakan di dunia ini. Kita mungkin melangkah ke 2026 tanpa mengetahui segalanya, tetapi kita tahu bahawa kita tidak melangkah bersendirian.

 

Kita mungkin melangkah ke 2026 tanpa mengetahui segalanya, tetapi kita tahu bahawa kita tidak melangkah bersendirian.

 

Semoga tahun yang akan datang bukan sahaja ditandai oleh pencapaian, tetapi oleh kepercayaan yang lebih mendalam kepada Tuhan yang kekal dan berdaulat. Semoga kita bertumbuh bukan hanya dalam kemajuan, tetapi juga dalam ketekunan. Semoga iman kita menjadi lebih senyap, lebih kuat, dan lebih jujur — dan semoga iman itu membawa kita, selangkah demi selangkah, tidak kira apa jua yang dibawa oleh tahun baharu, sama ada kebaikan mahupun cabaran.

 

|Kongsilah Berita Baik|

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*