Bagaimanakah kita boleh mengatasi kekhuatiran kita dalam hidup? – Lenny Tabari dalam Kebaktian Bahasa Malaysia, SIBKL

Lenny Tabari
Lenny Tabari

 

Pada lima haribulan Julai, Lenny Tabari  yang berasal Sipitang, Sabah telah berkhutbah di dalam Kebaktian Bahasa Malaysia (KBM) di Sidang Injil Borneo Kuala Lumpur (SIBKL) dengan khutbah yang bertajuk, “Mengatasi kekhuatiran.”

Apakah maksud khuatir? Khuatir ialah suatu perasaan bimbang, risau atau cemas. Semua manusia pasti mempunyai perasaan khuatir, tetapi ada pula orang yang khuatir secara keterlaluan. Mengapakah kita khuatir? Lenny memberi tiga sebab.

Sebab pertama kita khuatir ialah kesan daripada dosa, kesalahan, dan kelalaian kita. Apabila kita berdosa atau melakukan kesalahan, kita khuatir tentang akibat dosa dan kesalahan kita. Apabila kita lalai pula, kita khuatir tentang akibat daripada tindakan kita yang tidak bertanggungjawab itu.

 

Pendeta Daniel berdoa untuk pemberian perpuluhan kepada Tuhan
Pendeta Daniel Tan dari SIBKL berdoa untuk pemberian perpuluhan kepada Tuhan

 

Sebab kedua kita khuatir ialah ketidakpastian terhadap perkara yang belum terjadi. Sebagai contoh, perasaan khuatir ini boleh timbul terhadap masa depan kita yang tiada jaminan, seperti risiko negara ini dalam menghadapi bencana alam, isu kenaikan harga minyak, dan juga keruntuhan nilai-nilai moral dalam masyarakat kita.

Sebab ketiga kita khuatir ialah kepastian terhadap perkara yang akan berlaku tetapi kita tidak tahu bila ia akan terjadi, seperti kematian dan menghadapi usia tua. Ada juga sesetengah orang yang begitu takut mati sehingga mereka mengelak diri daripada memandu kereta atau menaiki kapal terbang.

Apakah caranya supaya kita tidak berasa khuatir sebagai orang percaya kepada Tuhan?

 

Pendeta Daniel berdoa untuk kanak-kanak dalam Kebaktian Bahasa Malaysia
Pendeta Daniel Tan dari SIBKL berdoa untuk kanak-kanak dalam Kebaktian Bahasa Malaysia

 

Yang pertama, kita harus menyedari bahawa kita sangat berharga bagi Tuhan.

 

Pandanglah burung-burung di langit, yang tidak menabur dan tidak menuai dan tidak mengumpulkan bekal dalam lumbung, namun diberi makan oleh Bapamu yang di syurga. Bukankah kamu jauh melebihi burung-burung itu? (Matius 6:26)

 

Dalam Matius 6:26, kalau Tuhan mengasihi burung-burung dan membekalkan makanan kepadanya, apa lagi kita sebagai anak-anak kesayangan Tuhan. Tuhan sudah berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan kita dan meninggalkan kita (Ulangan 31:6). Tuhan akan menyediakan segala keperluan jasmani kita.

 

Lenny Tabari berkongsi tentang sebab-sebab  kita khuatir
Lenny Tabari berkongsi tentang sebab-sebab kita khuatir

 

Namun, ada sesetengah orang salah mentafsirkan ayat ini sebagai satu alasan untuk tidak bekerja atau tidak perlu berusaha kerana menyangka berkat Tuhan itu automatik. Tetapi kalau kita membaca firman Tuhan, burung-burung dikatakan sedang terbang di langit, bukan berada di dalam sarang. Maksudnya, Tuhan akan memberkati kita apabila kita berusaha seperti burung-burung yang terbang di langit untuk mencari makanan. Tanggungjawab kita adalah untuk berusaha dan tanggungjawab Tuhan pula adalah untuk memberkati kita!

Lenny berkongsi pengalamannya tentang bagaimana Tuhan memberkatinya ketika dia menuntut di universiti. Semasa dia belajar di Kuching, bapanya yang bekerja sebagai seorang guru sekolah akan mengirim RM150 untuk menampung perbelanjaan bulanannya. Tetapi, pada minggu berikutnya, Lenny mendapati hanya RM5 sahaja yang tinggal di dalam dompetnya dan ada dua minggu lagi untuk mendapat kiriman wang seterusnya.

Kerana dia tidak mahu merisaukan bapanya, Lenny berdoa kepada Tuhan dengan berkata kepada-Nya, “Tuhan, Engkau berjanji kalau saya setia memberi-Mu persepuluhan, Engkau akan membuka tingkap langit untuk memberkati saya. Sekarang, saya mahu menuntut janji Mu seperti yang dikatakan di dalam Alkitab.”

 

Ref: integratedcatholiclife
Ref: integratedcatholiclife

 

Dengan itu Lenny menyerahkan masalah kewangannya kepada Tuhan dan dalam dua minggu selanjutnya, RM5 miliknya tidak pernah berkurangan. Setiap kali waktu makan tengah hari dan waktu makan malam, kawan-kawan atau jiran-jirannya akan menjemput Lenny untuk makan bersama mereka kerana ada makanan berlebihan.

Dalam Mazmur 37:25, Raja Daud berkata, “Dahulu aku muda, sekarang telah menjadi tua, tetapi tidak pernah kulihat orang benar ditinggalkan, atau cucunya meminta-minta roti.” Sebagai orang benar, kita tidak perlu khuatir tetapi kita harus berusaha sebaik mungkin.

Yang Kedua, kita harus menyedari bahawa kita mempunyai pengharapan di dalam Yesus.

 

Tetapi carilah dahulu Kerajaan Tuhan dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu. (Matius 6:33)

 

Ref: thesoulfulwriter
Ref: thesoulfulwriter

 

Maksud firman ini ialah kalau kita mempunyai masalah, janganlah kita fokus kepada masalah kita atau melayani kerisauan kita. Sebaliknya, kita harus beri tumpuan kepada Tuhan kerana Tuhan sudah berjanji kalau kita mencari-Nya, Dia akan memberkati kita dan membuka jalan dengan cara-Nya sendiri.

 

Siapakah di antara kamu yang karena kekuatirannya dapat menambahkan sehasta saja pada jalan hidupnya? (Matius 6:27)

 

Tambahan lagi, kita haruslah menyedari bahawa kekhuatiran kita tidak dapat membantu kita untuk menyelesaikan masalah (Matius 6:27). Janganlah kita bergantung kepada kekuatan dan kepintaran kita, tetapi kita haruslah bergantung kepada Tuhan kita yang merupakan sumber segala pengharapan kita.

 

Ref: wookmark
Ref: wookmark

 

Bukan itu sahaja, kekhuatiran juga adalah satu penghalang untuk kita memajukan diri. Contohnya, jika kita takut untuk memandu kereta kerana takut mati, ini bermakna kita tidak boleh memandu untuk selama-lamanya. Kita harus menyerahkan kekhuatiran kita kepada Tuhan dan berusaha untuk melakukan perintah-Nya dalam injil di dalam kehidupan kita. Sama ada Tuhan akan mencukupi keperluan kita atau tidak itu adalah hak Tuhan tetapi kita haruslah setia dan tekun mencari kebenaran-Nya.

Namun, ada juga sesetengah orang yang salah faham dengan maksud ayat ini kerana perhatian mereka lebih tertumpu kepada berkat Tuhan. Mereka mengejar berkat lebih daripada mengejar kerajaan Tuhan. Tetapi kita haruslah memberi tumpuan kepada kerajaan Tuhan dahulu sebelum Tuhan memberkati kita.

Lenny berkongsi lagi tentang perasaannya semasa pendeta Daniel, SIBKL memintanya untuk berkhutbah. Walaupun khutbah ini merupakan satu peluang untuknya memajukan dirinya, dia khuatir kalau-kalau khutbahnya salah. Tambahan pula, jadualnya sudah penuh dengan pembelajaran separuh masa, ulang kaji untuk ujian, dan pekerjaan di gereja. Oleh itu, dia berasa sangat khuatir terhadap masanya yang terhad dalam dua minggu itu untuk menyediakan khutbahnya.

 

Ref: integratedcatholiclife
Ref: integratedcatholiclife

 

Kekhuatirannya mengganggunya sehingga dia tidak boleh tidur dengan baik sehingga dia pun bangun dan berdoa kepada Tuhan tentang mesej khutbahnya. Sambil dia membelek-belek alkitabnya, tiba-tiba matanya tertumpu kepada Matius 6:25-34. Dia bertanya kepada Tuhan dalam renungannya, “Apakah sebab sebenar khuatiran saya ini? Burung-burung di langit, Engkau beri makanan tetapi kenapa saya harus khuatir?” Lenny terus merenungkan ayat-ayat tersebut dan tiba-tiba hatinya amat terhibur kerana dia mendapat satu wahyu daripada injil untuk berkhutbah.

Yang ketiga, kita tidak perlu khuatir kerana kita hanya perlu menjalani kehidupan kita hari ini, untuk hari ini (Matius 6:34).

 

Sebab itu janganlah kamu kuatir akan hari besok, karena hari besok mempunyai kesusahannya sendiri. Kesusahan sehari cukuplah untuk sehari.” (Matius 6:34 )

 

Maksud ayat ini ialah janganlah kita membebankan fikiran kita dengan perkara yang belum berlaku. Kita haruslah hidup dengan sebaik mungkin pada hari ini dan berusaha sebaik mungkin untuk hari ini. Jika kita bertembung dengan apa-apa masalah keesokan harinya, maka kita haruslah menghadapi hari itu seperti kita telah hadapi masalah hari ini.

 

Ref: womenriseclimbandshine
Ref: womenriseclimbandshine

 

Ini adalah kerana, kekhuatiran untuk perkara yang belum berlaku pada hari esok telah menghalang kita untuk melakukan tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan pada hari ini. Kalau kita sentiasa khuatir akan masalah-masalah yang belum terjadi pada hari esok, kita tidak akan dapat menumpukan perhatian kita untuk menyelesaikan masalah kita pada hari ini dengan berkesan.

Lenny Tabari berkongsi tentang pengalamannya menyerahkan masalahnya kepada Tuhan semasa dia bekerja sebagai seorang programer dalam syarikatnya. Kerana terjadi kesalahfahaman, Lenny membuat satu keputusan dalam satu projek tanpa berunding dengan rakan sekerjanya. Selepas itu, dia mendapati keputusannya mungkin akan mempengaruhi penyambungan projek tersebut. Berhari-hari, Lenny cuba mencari jalan penyelesaian tetapi sia-sia, dia mengambil keputusan untuk berdoa kepada Tuhan setelah penat berfikir dan putus asa. Lima minit selepas dia berdoa, rakan sekerjanya menelefonnya untuk memberitahunya bahawa projek tersebut akan disambungkan.

Kalaulah Lenny telah berdoa dan menyerahkan kekhuatirannya lebih awal kepada Tuhan, maka tidak perlulah dia membazirkan masanya dengan mengkhuatiri sesuatu yang belum terjadi. Bukankah Tuhan kita sudah berkata bahawa kita boleh menyerah kekhuatiran kita kepada-Nya sebab Dia akan memelihara kita (1 Petrus 5:7)?

 

Serahkanlah segala kekuatiranmu kepada-Nya, sebab Ia yang memelihara kamu. (1 Petros 5:7)

 

Ref: blogspot
Ref: blogspot

 

Oleh itu, kalau kita khuatir, marilah kita berdoa dan bertanya kepada Tuhan kita terlebih dahulu supaya kita tidak membazir masa kita dengan khuatir. Ya, tidak ada apa-apa yang terlalu susah dan mustahil untuk Bapa kita di Syurga. Tuhan kita lebih besar daripada segala masalah dan kekuatiran kita. Puji Yesus selama-lamanya!

 

| Share the Good News |

 

1 Comment

  1. Keluarga Kristus sekalian,
    marilah kita mendoakan yang Dia akan membolehkan kita menggunakan kuasa Rohani dalam menidakkan segala nodaan/hasutan pada ketika penuh cabaran sekarang, yang kita akan menjadi berdisiplin dan
    berbuat kerja-kerja mulia dan cinta dalam menawani kejahatan.

    Salam, Amin.

    In English:
    Brethrens in the family of Christ:
    Let us pray that He will enable us the power of Spirit that will deny the work of temptation/provocation at these challenging times, to have self-discipline and to do good work in love overcoming evil.

    Regards, Amen

    2Ti1:7, 1Co7:5, Ro12:21

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


*